
KOTA BHARU: Belum tiba masanya untuk mewartakan lokasi tanah mendap di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sebagai zon tidak selamat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, untuk berbuat demikian pihaknya perlu mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkannya sebagai bencana.
“Walaupun kejadian ini bukan dianggap bencana namun tindakan polis termasuk bomba dan agensi berkaitan serta Indah Water Konsortium (IWK) seolah-olah seperti bencana.
“Susulan lokasi kedua mendapan dikesan, saya sudah mengarahkan laluan sepanjang 1.4 meter di Jalan Masjid India ke Jalan Raja Laut ditutup.
“Penutupan itu membabitkan laluan yang mempunyai lima pembentung dan arahan berkait perkara berkenaan sudah dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan Ketua Polis Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dengan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, penutupan hanya membabitkan laluan berkenaan saja dan tidak membabitkan kawasan lain.
“Perniagaan juga tidak ditutup, urus niaga masih berlangsung seperti biasa. Laluan ke pembentung itu sekitar 50 hingga 70 meter saja,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, dapatan itu diperoleh menerusi pengesanan oleh dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa turun ke lokasi kejadian petang semalam selain pengesanan kamera.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Mendapan tanah: Audit Integriti akan dilakukan
- Mendapan tanah: Suruhanjaya Tinggi India beri sokongan berterusan kepada keluarga
- Mendapan tanah: Struktur kawasan kejadian di Masjid India bukan berasaskan batu kapur – Pakar Geologi
- Mendapan tanah: JBPM kesan objek terhalang, operasi SAR diteruskan pada jam 2 pagi
- Mendapan tanah: Selaman ke lokasi objek tersekat berdepan kesukaran
- Mendapan tanah: Operasi SAR mencari mangsa memasuki hari ketujuh
- [VIDEO] Mendapan tanah: Peralatan khas GPR terus digunakan sehingga mangsa ditemui