Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merumuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, ibu negara menggunakan kaedah penyelaman adalah terlampau berisiko.
Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, ia berikutan terdapat halangan yang keras, ruang sempit dan keadaan arus air di saluran kumbahan itu selepas menghantar pasukan penyelam awal pagi tadi.
“Selepas kita berbincang secara taktikal dan berdasarkan maklum balas daripada dua orang (penyelam) yang masuk dalam (saluran) tadi, saya dapat rumuskan ianya terlampau berisiko untuk kita cuba meneruskan usaha secara penyelaman dan juga secara fizikal untuk mengesan mangsa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di sini, hari ini.
Menceritakan detik cemas aktiviti penyelaman itu, Nor Hisham berkata, dua penyelam dari JBPM dan pekerja kumbahan melakukan selaman pada jam 4 pagi tadi.
Setelah memasuki saluran kumbahan kira-kira 18 meter dari lokasi kejadian sekitar 20 minit mendapati tiada ruang untuk meneruskan penyelaman, malah pasukan penyelam terpaksa meniarap untuk memasuki lokasi pencarian.
Pada masa sama, jelasnya, aktiviti penyelaman juga dihentikan berikutan peningkatan air di saluran.
“Apabila kita hantar pasukan penyelam 4 pagi itu, saya pun ‘speechless’ (kehilangan kata-kata), berdebar sebab kita tengok tempat mereka masuk itu lebih kurang dalam dua kaki, mula meniarap dan merangkak.
“Kita cukup risau apabila mereka tersekat, ada ‘piston effect’ (kesan omboh) daripada air membuatkan mereka tak boleh mengundur, kita terus berkomunikasi dengan penyelam melalui telekomunikasi bawah air supaya dia selesa.
“Terlampau berisiko di lokasi 18 meter, ada bongkah yang tak boleh lalu, (penyelam) cuba terajang pun tak bergerak. Kalau dia pergi juga, dia mungkin boleh pergi sebab ditolak arus tetapi nak balik dari lubang itu kemungkinan kalah dengan ‘piston effect’, jadi sangat bahaya,” katanya.
Tambahnya, JBPM turut menghantar dua unit kamera bawah air di kawasan SAR dan telah merakam beberapa imej termasuk cebisan kain yang tidak dapat dikenal pasti.
“Walaupun kita dapat imej kain tetapi buat masa ini kita tak boleh katakan bahawa itu milik kepada sesiapa sebab dalam (saluran) itu memang macam-macam (sisa).
“Secara nyatanya berdasarkan kamera itu, tidak ada yang menunjukkan imej ‘body’ (badan) sebab ‘turbulence’ (arus) air bergerak begitu kuat,” katanya.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, satu mesyuarat akan diadakan petang ini di Kuala Lumpur bagi menentukan hala tuju dan kaedah lain SAR.
Mesyuarat membabitkan pasukan terlibat seperti pasukan penyelamatan dan pihak berkuasa tempatan yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
“Kita akan beri nasihat kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri (Dr Zaliha) petang ini untuk kita tengok kepada hala tuju operasi ini.
“Kita akan menasihatkan dari segi taktikal hasil dapatan kita dan dari segi risiko. Kita akan kata bahawa pada masa ini, kaedah dan penumpuan kepada penyelaman secara fizikal sangat berisiko tinggi.
“Keberangkalian besar kita akan melihat bagaimana kaedah pemantauan, paling tidak di Indah Water Konsortium (IWK) yang terakhir, untuk kita tengok kepada sistem tapisan,” katanya.
Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijaya Lakshmi Gali, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Mendapan tanah: Menteri Wilayah setuju operasi diteruskan, pasukan SAR terus bersemangat
- [VIDEO] Mendapan Tanah: Pasukan SAR giat melakukan kerja ‘shoring’ secara manual di lokasi – DBKL
- Mendapan tanah: Operasi SAR awal pagi lebih agresif
- Mendapan tanah: Operasi SAR hari kelapan fokus usaha rungkai ‘backlog’