comscore
Tumpuan :
Nasional

Mendapan tanah: Ada aliran air deras di bawah, operasi mencari mangsa perlu ikut peringkat – Polis

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan operasi mencari seorang wanita warganegara India yang hilang selepas terbenam dalam mendapan tanah berhampiran Masjid India akan diteruskan sehingga mangsa ditemui.

Bagaimanapun jelasnya, cabaran pasukan mencari dan menyelamat apabila terdapat aliran air deras bawah tanah yang menyukarkan mangsa ditemui.

“Di dalam sana ada aliran air yang deras sampai hujung sana. Tindakan kita perlu ikut peringkat, kerana kawasan ini ada pelan Indah Water Konsortium semua,”katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya penutupan saliran air bawah tanah dibuat, dikhuatiri keadaan lebih buruk boleh berlaku di kawasan sekitar.

“Saya dimaklumkan kalau penutupan air dibuat, mungkin akan berlaku banjir, jadi kita buat strategi menerusi nasihat bomba.

“Kita tak boleh mudah masuk macam tu, kita berdoa sebelum malam boleh menemui mangsa, semoga mangsa masih hidup,”katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi tadi, mangsa berusia 48 tahun dikatakan berjalan di sekitar lokasi sebelum mendapan tanah itu berlaku.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, turut menunjukkan mangsa hilang selepas termasuk ke dalam mendapan tanah.

Operasi ketika ini diteruskan dengan pasukan mencari dan menyelamat memperluaskan lubang mendapan tanah itu menggunakan jentera DBKL.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini