comscore
Tumpuan :
Nasional

Mendapan tanah: 3 pam elektrik berkapasiti tinggi digunakan dalam operasi SAR

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Tiga pam elektrik berkapasiti tinggi digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi menurunkan paras air dari lurang lokasi kejadian sehingga lurang di Wisma Yakin.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, usaha itu bagi memudahkan usaha penelitian semula jajaran paip.

“Tiga pam elektrik berkapasiti tinggi telah digunakan oleh pasukan SAR untuk menurunkan paras air sehingga 2.5 kaki dari dasar paip supaya pasukan SAR boleh meneruskan penelitian semula jajaran paip dari manhole 1 (ground zero) sehingga manhole 2 (Wisma Yakin),” menurut DBKL dalam satu kenyataan.

Ia turut memaklumkan, jentera berat juga telah digunakan bagi membantu melaksanakan kerja-kerja penebukan bagi membolehkan saluran paip penyedut tambahan yang dibawa oleh Indah Water Konsortium (IWK) digunakan untuk menurunkan paras air seminima yang mungkin.

“Pasukan SAR telah berusaha untuk memasuki saluran paip kumbahan secara man entry melalui manhole 1 (ground zero) dan manhole 2 (Wisma Yakin).

“Walaubagaimanapun, usaha pasukan SAR gagal kerana faktor laluan yang sempit dan peningkatan gas dalam saluran yang amat berisiko kepada pasukan SAR,” jelasnya.

SAR diteruskan pada hari kelapan dengan komitmen yang padu dari semua agensi yang terlibat.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu tiba di Jalan Masjid India, di sini, sekitar jam 12.35 tengah hari bagi meninjau operasi SAR yang dijalankan.

Beliau turut diberi taklimat berkenaan operasi oleh beberapa pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Pada 23 Ogos lalu, Vijaya Lakshmi Gali, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter yang disebabkan oleh mendapan tanah di Jalan Masjid India.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini