Tumpuan :
Nasional

Menantu Muhyiddin masih gagal dikesan setelah lebih setahun – Azam Baki

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Setelah lebih setahun, keberadaan ahli perniagaan, Datuk Muhammad Adlan Berhan bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan projek di sebuah kementerian masih tidak dapat dijejaki.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih belum dapat mengesan menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

“Beliau masih belum dapat dikesan untuk dibawa balik ke Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Pada 7 Ogos 2023, media melaporkan, SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Selain Muhammad Adlan, seorang lagi adalah peguam, Mansoor Saat, 70, dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

Tindakan menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah itu dilakukan selepas dimohon SPRM untuk mengetahui keberadaan kedua-dua individu itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini