Tumpuan :
Nasional

Memperkasa pendidikan negara melalui slogan ‘Bersekutu Tambah Mutu’ – PM

Oleh: Kumaran Rajamoney

BUKIT MERTAJAM: Mutu Pendidikan negara akan terus dipertingkat tanpa perbalahan yang menyentuh isu remeh, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, tumpuan memperkasa pendidikan perlu dilakukan menerusi slogan ‘Bersekutu Tambah Mutu’ yang diberi tumpuan dalam mengangkat penghayatan budaya, penguasaan bahasa dan kefahaman sejarah.

Tambah beliau, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN sedang meneroka displin baru bagi membincangkan sektor tenaga boleh diperbaharui, serta transformasi digital.

“Maknanya kita kena siapkan anak-anak kita dengan kecekalan dengan ilmu dengan keterampilan untuk menguasai dan mengangkat martabat Malaysia. Sebagai satu negara yang bersatu fokusnya mutu pendidikan yang lebih baik.

“Begitu juga penguasaan bahasa. Jika dahulu bahasa Cina dianggap sebagai bahasa suku kaum, kini dengan kemaraan China sebagai negara kuasa ekonomi, ianya memberi keuntungan kepada kita. Begitu juga Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa pengantar terpenting dunia,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Lawatan ke Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin, di sini hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri juga mahu generasi muda terus dididik untuk menghargai keamanan dan kedamaian yang dicapai negara menerusi pendekatan hormat-menghormati yang diterapkan sejak negara memperoleh kemerdekaan.

Untuk rekod, Anwar pernah bertugas sebagai guru sandaran Bahasa Melayu di sekolah itu selepas bergraduasi dari Univeristi Malaya (UM).

Turut disampaikan sumbangan berjumlah lebih RM20 juta bagi 63 buah sekolah menengah persendirian cina (SMPC) di seluruh negara.

Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin menerima peruntukan berjumlah RM1 juta bagi pembangunan pendidikan sekolah itu.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yew, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini