Tumpuan :
Nasional

Memorandum bantahan pindaan undang-undang terhadap media diserahkan kepada PM

Foto: Anwar Ibrahim / Facebook

KUALA LUMPUR: Satu memorandum bantahan berkaitan pindaan undang-undang terhadap media telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh sekumpulan petugas media dan badan bukan kerajaan (NGO) di pekarangan Parlimen, pagi ini.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah yang mewakili Anwar menerima memorandum tersebut.

“Insya-Allah kerajaan menerusi kementerian berkaitan akan meneliti setiap bantahan, kritikan dan cadangan yang dibangkitkan bagi menjamin suasana positif untuk industri media, di samping menjaga hak dan kebebasan mereka,” kata Anwar menerusi catatan terbaharu di Facebook.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa lebih 50 ahli Sekretariat Fourth for the Fourth (404) yang terdiri daripada petugas media dan NGO telah berarak secara aman ke Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Bantahan itu melibatkan cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) serta memperjuangkan kebebasan media.

Perhimpunan aman itu dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm), dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa pandangan pihak media berhubung pindaan terhadap beberapa akta termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 akan dipertimbang.

Fahmi berkata, beliau percaya Jemaah Menteri akan membuat keputusan yang baik dalam meminda akta berkenaan.

“Saya beri komitmen apa yang dibangkitkan rakan media, bukan saja yang hadir tapi dalam banyak sesi libat urus, pertemuan dan perbincangan, mesej yang disampaikan akan saya bawa kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk pengetahuan dan pertimbangan beliau.

“Apa yang penting, kita nak suasana positif bagi media untuk terus beroperasi dengan baik tapi menjaga hak dan kebebasan bagi rakan media serta rakyat Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menerima memorandum daripada Sekretariat Fourth for the Fourth (404) membabitkan Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Kesatuan Kebangsaan Kewartawanan Semenanjung Malaysia (NUJM) di pintu masuk Parlimen di sini, hari ini.

Fahmi berkata, terdapat beberapa perkara dilaksanakan kementeriannya untuk masa depan media di negara ini, termasuk usaha membawa Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat kali ini, yang diharap membantu menguruskan hal ehwal media dengan lebih terangkum.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini