KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan sembilan anggota penguat kuasa sebuah agensi kerana dipercayai melindungi nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.Ke semua mereka adalah antara 11 individu berusia antara 30-an hingga 50-an yang ditangkap SPRM kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’.
Mereka ditahan antara jam 10 pagi hingga jam 12 tengah hari tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Alor Star, Kedah.
Siasatan awal mendapati, sembilan penguat kuasa yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi itu dikatakan menerima rasuah kira-kira RM300 hingga RM7,000.
“Perbuatan itu dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua orang awam yang turut ditahan dalam operasi itu.
“Akibat rasuah itu, penguat kuasa berkenaan melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan bawah Akta Perikanan 1985,” kata sumber di sini hari ini.
Sumber berkata, semua anggota penguat kuasa terbabit dipercayai melakukan kesalahan itu dari tahun 2018 hingga 2021.
“Wang rasuah itu difahamkan dimasukkan ke dalam akaun peribadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
“Lima suspek yang juga anggota penguat kuasa akan dibawa untuk permohonan reman di mahkamah Majistret Alor Star, Kedah jam 8 pagi esok manakala selebihnya dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil,” katanya.