Oleh: Juliana Sharin
PETALING JAYA: Beberapa kes liwat diakui pernah berlaku membabitkan individu dalam Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Perkara itu didedahkan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook GISBH, pagi ini.
“Ini tangkap sekali 400 lebih kemudian anak-anak itu anak-anak yang tidak tahu cerita. Kemudian dituduhnya liwat dan sebagainya. Memang liwat itu ada satu, dua, tetapi kenapa dirangkumkan semua?” katanya.
Beliau turut mengakui GISBH mempunyai kesalahan dari segi perundangan.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk kesalahan terbabit.
“Saya sangat sedih, saya orang Islam, tuan-tuan pun orang Islam. Pecah kita sesama Islam, kemudian anak-anak ditangkap sebagainya. Tidak apa, saya bukan hendak menyalahkan undang-undang, memang kami ada salah dari segi undang-undang tetapi tak boleh nasihat ke?” tambahnya.
Rabu lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun menerusi Op Global, selepas disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.
Katanya, serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- 402 kanak-kanak dieksploitasi di rumah amal diselamatkan polis
- Op Global: Mangsa diajar aksi tidak senonoh, tagih simpati minta sumbangan – KPN
- Op Global: PDRM dedah kecederaan fizikal dan mental terhadap 172 pelajar
- OP Global: 13 kanak-kanak dipercayai mangsa liwat setakat ini – KPN
- Op Global: Polis sahkan ada kecederaan baharu dan lama pada mangsa – KPN