comscore
Tumpuan :
Nasional

Memang ada pihak berkuasa yang lindung sarang pelacuran – Azam

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hadiri program Persidangan Meja Bulat (RTD) Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024.- Foto: NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membenarkan dakwaan terdapat perlindungan daripada segelintir pihak berkuasa bagi melindungi pusat-pusat pelacuran, khususnya di ibu kota.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan dapatan itu disimpulkan menerusi siri-siri operasi yang dijalankan pihaknya sejak 11 tahun lalu.

“Saya boleh katakan sejak 2013 banyak operasi yang dikendalikan SPRM berhubung isu pelacuran di dalam negara ini, terutamanya melibatkan ibu kota besar.

“Dapatan kami dalam kesemua kes, memang ada perlindungan daripada pihak berkuasa atau penguatkuasa undang-undang.

“Pelacuran ini, saya memang berani katakan sudah tentu ada perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu, kalau tidak bagaimana ia boleh berleluasa, kalau begitu laporannya,” katanya.

Walaubagaimanapun pihaknya memerlukan maklumat lebih lanjut bagi membuat tindakan selanjutnya.

Beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terperinci untuk tampil membantu siasatan.

“Mana-mana mereka yang sanggup datang memberi kami maklumat lebih lanjut, kita akan atur tindakan kami untuk siasatan selanjutnya,” ujarnya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, dipercayai wujudnya elemen rasuah berkaitan isu lubuk pelacuran di ibu negara yang masih tidak selesai sejak sekian lama.

Dalam isu pelacuran di Kuala Lumpur, beliau berkata, beliau turut meyakini SPRM ke arah untuk turut masuk campur termasuk yang membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Harian Metro pada 22 Jun lalu menerusi laporan ekslusif bertajuk ‘Hanyir Lubuk Dosa’ mendedahkan lubuk kegiatan pelacuran tertua sekitar Pudu, Kuala Lumpur termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu.

27 Jun lalu polis mendedahkan empat lokasi yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar ibu kota yang menawarkan khidmat seks dengan harga murah kepada pelanggan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, antara lokasi yang dikesan ialah Jalan Petaling, Jalan Gelang, Jalan Pudu dan Hotel Richmoore.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini