comscore
Tumpuan :
Nasional

Memandangkan arwah akan menamatkan perkhidmatan, ayah menyertai rombongan itu – Anak mangsa

KUANTAN: “Ayah akan pencen pada 7 Julai depan dan sebenarnya berat hati untuk mengikuti rombongan itu,” itu luah anak perempuan Hamzah Ahmad, Siti Zulaikha ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini hari ini.

Allahyarham Hamzah mangsa kemalangan maut nahas bas dan treler di Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah, Rompin awal pagi tadi.

Allahyarham ialah pembantu operasi Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka.

“Ayah jarang nak pergi ke mana-mana. Ayah juga cakap nak fokus ternak ayam selepas pencen dan lebih banyak berada di masjid.

“Tetapi memandangkan arwah akan menamatkan perkhidmatan bulan depan, ayah menyertai rombongan itu dan saya tidak sangka ayah meninggal dunia kerana terbabit kemalangan.

“Pada awalnya saya difahamkan ayah hanya mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Sharifah Khamis, 58 berkata, Allahyarham Hamzah adalah seorang yang sangat baik dan warak.

“Masjid itu memang tempat arwah dan Allah SWT sayang dia. Cuma apa yang kami perasan arwah jadi pendiam dan tidak banyak bercakap seperti selalu.

“Kali terakhir saya jumpa arwah semalam dan ayah pergi ke sekolah sendiri dengan menaiki kereta dan parkir kenderaan itu di sekolah.

“Adik saya (isteri arwah) tidak sangka dan masih terkejut dengan kejadian yang berlaku,” katanya.

Hamzah meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan, Siti Zulaikha dan Siti Wardah, 24.

Jenazah Allahyarham Hamzah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka.

Dalam kemalangan itu, bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler.

Bas itu dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Hamzah antara tiga yang maut selain Hasnatul Adilah Hassan, 48 dan pemandu bas kedua Mohd Adi Hasan, 29.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini