comscore
Tumpuan :
Nasional

Melayu dipaksa makan babi, India dipaksa makan daging lembu

Lima rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk dijadikan ‘scammer’ sebuah syarikat di Laos selamat pulang ke tanah air hari ini. – FOTO: NSTP

SEPANG: “Kami yang berbangsa India dipaksa untuk makan daging lembu, manakala rakan yang berbangsa Melayu dipaksa makan daging babi sehari sekali.”

Itulah nasib menimpa lima rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa menjadi ‘scammer’ sebuah syarikat di Laos sebelum berjaya dibawa pulang ke tanah air tadi.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA) jam 10 pagi menaiki pesawat Air Asia dari Vientiane, Laos ke Chiang Mai, Thailand dan kemudian ke KLIA 2.

Mangsa, K Khirubhananthan, 25, berkata, dia dan empat rakannya, K Khirubhakaran, 25, T Thinagaran, 35, Farhana Mohd Zainal Abdain, 26 dan Muhammad Amirrul Nor Azman, 26, pada awalnya ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dalam talian di Laos oleh dua individu dikenali sebagai Andy dan Sam.

Katanya, dua individu terbabit menawarkan gaji sebanyak RM6,000 sebulan kepada mereka dan akan menyediakan kemudahan kediaman sekiranya bekerja di sebuah syarikat swasta di Laos.

“Selepas sampai di Laos, mereka membawa kami ke suatu tempat dan dipaksa bekerja selama dua minggu sebagai pegawai khidmat pelanggan dalam talian.

“Kemudian kami dipindahkan ke sebuah rumah sebelum kami dijual kepada warga China dan Taiwan.

“Kami dikurung di rumah berkenaan. Pada masa yang sama, kami yang berbangsa India dipaksa untuk makan daging lembu, manakala rakan yang berbangsa Melayu dipaksa makan daging babi sehari sekali,” katanya ketika ditemui di balai ketibaan KLIA 2 di sini.

Menurut Khirubhananthan, sindiket berkenaan juga mengugut akan melakukan renjatan elektrik dan mahu mematahkan kaki mereka sekiranya tidak mengikut arahan diarahkan.

“Sindiket berkenaan turut merampas telefon bimbit dan pasport kami menyebabkan kami terputus hubungan dan tidak dapat bergerak ke mana-mana.

“Kemudian kami terpaksa meminta pertolongan daripada warga Laos dengan meminjam telefon bimbit untuk menghubungi pihak yang boleh membantu kami melepaskan diri dari sindiket berkenaan.

“Kami berjaya menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang dan pegawainya untuk datang menyelamatkan kami,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati sekiranya ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan terutamanya di dalam talian supaya tidak menjadi mangsa penipuan atau pemerdagangan manusia.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini