Tumpuan :
Nasional

Melaka wajar kuat kuasa semula arahan pakai pelitup muka di tempat awam – Penyelidik

Foto Ketua Penyelidik Kumpulan Komunikasi Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Abdul Rauf Ridzuan.

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Pemakaian pelitup muka di tempat awam wajar dikuat kuasa semula di negeri ini bagi mencegah gelombang COVID-19 yang kembali mencetuskan kebimbangan ramai sejak akhir-akhir ini.

Ketua Penyelidik Kumpulan Komunikasi Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Abdul Rauf Ridzuan berkata, tindakan itu wajar dilaksanakan segera ekoran kemunculan varian baharu ketika ini.

Tegasnya, langkah itu penting apatah lagi status Melaka sebagai negeri pelancongan yang turut perlu mengambil kira kemasukan pelancong luar.

“Jika dilihat di Pulau Pinang dan negeri lain, ramai rakyat telah mula memakai semula pelitup muka biarpun tiada penguatkuasaan dilaksanakan tetapi di Melaka ia masih belum berlaku.

“Perkara ini perlu memandangkan Melaka adalah negeri pelancongan dan kita juga menerima kemasukan pelancongan luar negara khususnya dari China.

“Biarpun demi menjaga hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik demi negara ini kerana kita tidak mahu perkara sama berulang lagi dan seterusnya memberi kesan buruk kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan lebih awal untuk menguatkuasakan peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka diyakini dapat membantu rakyat bersedia untuk kembali kepada norma sebelum ini.

“Saya amat menyokong hasrat kerajaan negeri untuk menguatkuasakan semula arahan pemakaian pelitup muka, malah saya berpendapat ia perlu dilaksanakan lebih awal.

“Ini kerana ia dapat membantu rakyat bersiap sedia memandangkan seperti pelaksanaan pada awal dahulu, rakyat memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pemakaian pelitup muka.

“Jadi, saya percaya, dengan peraturan lebih awal, ia dapat mengelakkan rakyat berasa janggal dengan norma tersebut dan pada masa sama penguatkuasaan dari semasa ke semasa perlu dilakukan,” tambahnya.

Loading...
Terkini