comscore
Tumpuan :
Nasional

Melaka tuan rumah sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China

Ab Rauf Yusoh melihat kapal layar Fu Ning di Pelabuhan Tanjung Bruas, hari ini. – FOTO: NSTP

MELAKA: Menjelang hari ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun ini, Melaka menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pemilihan Melaka sebagai lokasi sambutan terbabit adalah bertepatan dengan sejarah hubungan antara kedua-dua negara apabila ia bermula di negeri Hang Tuah itu.

Katanya, berdasarkan sejarah, pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Melaka lebih 600 tahun lalu menjadi punca kepada jalinan kerjasama berkenaan dan ia diteruskan dengan kerjasama diplomatik sejak 50 tahun lalu.

“Memandangkan kita dipilih sebagai tuan rumah sambutan 50 tahun itu, kerajaan negeri juga sedang mengimbau sejarah 600 tahun dahulu untuk membuktikan hubungan perdagangan dan diplomatik yang dicetuskan sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka ini dijelmakan kembali ketika hubungan diplomatik Malaysia-China ini.

“Oleh itu, kita akan bersama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memastikan kapal layar tradisional China terbesar di dunia, `Fu Ning’ yang kini sedang berlabuh di Melaka, akan menjadi simbolik kepada hubungan diplomatik berkenaan.

FOTO: NSTP

“Ini sekali gus mengimbau sejarah kehebatan hubungan Malaysia-China yang sudah terbina sejak 600 tahun dulu,” katanya ketika ditemui selepas melawat kapal layar Fu Ning itu di Pelabuhan Tanjung Bruas, Tanjung Kling, di sini hari ini.

Hubungan diplomatik Malaysia dan China mula terjalin pada 1 Jun 1974.

Naskhah perjanjian itu ditandatangani Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak dengan Perdana Menteri China ketika itu, Chou En-Lai di Dewan Besar Rakyat di Peking, China.

Serentak itu, Kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Taiwan berkuat kuasa pada hari yang sama, kerana Taiwan adalah sebahagian daripada wilayah China.

Mengenai tuan rumah sambutan berkenaan, Ab Rauf berkata, pihaknya akan memuktamadkan dengan Kementerian Luar memandangkan acara terbabit dijangka dihadiri Perdana Menteri dari kedua-dua negara.

Katanya, sebagai tanda penghargaan sempena sambutan itu, kerajaan negeri bersedia untuk menjadikan Bukit Cina sebagai lokasi pembangunan peringatan sebagai simbolik hubungan Malaysia-China selama ini.

Untuk tujuan itu, beliau berkata, Bukit Cina yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Melaka itu akan mengalami perubahan drastik termasuk dari segi pengindahan serta pembangunan kemudahan lain.

“Bukit Cina akan dijadikan Taman Peringatan sebagai simbolik hubungan antara kedua-dua negara dengan perasmiannya akan disempurnakan oleh kedua-dua Perdana Menteri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini