comscore
Tumpuan :
Nasional

Melaka ‘trending’ di media sosial China kerana Fan Bingbing

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan watikah pelantikan sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka kepada Fan Bingbing sambil disaksikan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman (kiri). – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pemilihan Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka nampak berhasil apabila negeri itu kini ‘trending’ di media sosial China, dengan carian berkaitan terma itu melonjak dengan ketara.

Pengurus perhubungan awam Fan, Jersey Chong berkata, carian untuk “Melaka” direkodkan lebih 320 juta dalam tempoh dua hari, berdasarkan statistik terkini daripada WeChat China.

Beliau berkata, “Fan Bingbing” memperoleh 334,883,965 carian diikuti “Melaka” dengan 165,082,653 carian pada 14 Jun.

Sementara itu, pada 15 Jun, “Fan Bingbing” mempunyai 461,138,243 carian dan “Melaka” mempunyai 161,972,679 carian.

“Sebagai perbandingan, carian untuk ‘Festival Filem Antarabangsa Shanghai’ mempunyai 2,280,795 di WeChat, manakala ‘Majlis Anugerah Filem Weibo 2024’ memperoleh 3,472,115 dalam tempoh yang sama,” katanya dalam catatan Facebook.

Fan yang mempunyai 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China sebaris dengan X) dan 4.1 juta pengikut di Instagram, sering digambarkan sebagai wajah budaya China di pentas global.

Beliau pernah membintangi filem adiwira Hollywood ‘X-Men: Days of Future Past’ serta filem Perancis dan Korea Selatan.

Pada 2017, Fan menghiasi muka depan majalah Time dan dinamakan sebagai satu daripada 100 Orang Paling Berpengaruh.

Beliau dilantik untuk mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan berada di negeri itu untuk lawatan mulai 14 Jun sebagai sebahagian daripada kempen yang bertujuan mempromosikan Melaka sebagai destinasi ideal untuk pelancong.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini