Tumpuan :
Nasional

Melaka salur RM2.5 juta untuk kebajikan, pembangunan masyarakat Tionghua

FOTO: Ihsan Kerajaan Melaka

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka menyalurkan peruntukan kira-kira RM2.5 juta kepada 5,812 penerima bantuan masyarakat Tionghua di negeri berkenaan dalam pelbagai sektor.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, walaupun populasi kaum Tionghua di Melaka sekitar 19.42 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negeri terbabit, namun denyut nadi mereka sentiasa diberi perhatian dan dibantu sewajarnya.

“Bantuan kepada masyarakat Cina di Melaka tidak hanya tertumpu kepada kebajikan, tetapi turut merangkumi pembangunan ekonomi dan sektor pendidikan.

“Jelaslah hasrat utama Kerajaan Negeri adalah sentiasa mendahulukan keperluan rakyat sehingga ke akar umbi tanpa mengira latar belakang bagi memastikan kebajikan rakyat Melaka sentiasa terpelihara dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Melaka di perkarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya, di sini, malam tadi.

Menurutnya,sambutan berkenaan bukan sekadar perayaan, tetapi bukti keakraban dan perpaduan yang sekian lama terjalin dalam kalangan masyarakat majmuk di Melaka.

Beliau berkata, penganjuran sambutan berkenaan juga akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berbeza pada setiap tahun bagi membolehkan setiap rakyat merasai kemeriahannya.

Lebih 10,000 pengunjung berbilang kaum yang hadir menyaksikan sambutan rumah terbuka berkenaan.

Pelbagai persembahan menarik, antaranya tarian naga dan singa, tarian kebudayaan dan pertunjukan bunga api.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini