comscore
Tumpuan :
Nasional

Melaka kaji solusi atasi banjir naik mendadak di kawasan rendah

Ab Rauf melawat mangsa banjir di PPS SMK Datuk Abdul Rahman Yaakub di Merlimau serta PPS Sekolah Kebangsaan (SK)Tedong, Serkam. – FOTO: NSTP

JASIN: Kerajaan negeri mahu kajian terperinci dibuat bagi mengelakkan kejadian banjir kilat secara mendadak, khususnya di kawasan rendah dapat dielakkan pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata semua jabatan serta agensi berkaitan diminta berbincang bagi mengkaji kaedah terbaik menangani masalah terbabit yang terutama ketika keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Suasana banjir ini dilihat mengubah landskap serta suasana kehidupan serta struktur alam di semua kawasan yang terbabit dan keadaan itu sangat jarang berlaku disebabkan ketidaktentuan cuaca ketika ini.

“Maka, satu kajian terperinci akan dibuat untuk mencari solusi dan kesimpulan untuk penambahbaikan kaedah pencegahan banjir di kawasan yang rendah di negeri ini,” katanya selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau di sini hari ini.

Pada lawatan itu, semua ketua isi rumah mangsa bencana terbabit menerima sumbangan tunai RM300 seorang selain kit makanan dan barangan keperluan harian.

Ab Rauf turut mengadakan lawatan ke PPS SMK Datuk Abdul Rahman Yaakub di Merlimau serta PPS Sekolah Kebangsaan (SK)Tedong, Serkam.

FOTO: NSTP

Yang turut hadir, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom.

Ab Rauf berkata, bantuan kecemasan daripada kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada mangsa banjir berkenaan sebagai usaha untuk meringankan beban mereka.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya di kawasan banjir supaya mengawasi pergerakan anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Dalam suasana yang tidak diduga ini saya menasihatkan kepada semua rakyat Melaka supaya mengawal gerak-geri anak masing-masing supaya tidak terbabit dalam kejadian tidak diingini.

“Berwaspadalah dalam berhadapan dengan keadaan cuaca tidak menentu ini kerana berdasarkan ramalan kaji cuaca, ketidaktentuan cuaca ini akan berlarutan sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Sehingga jam 4 petang tadi, sebanyak lima PPS dibuka di Jasin membabitkan SMK Dang Anum, SMK Datuk Abdul Rahman Yaakub, SK Tedong, SK Serkam Darat dan SK Seri Mendapat yang menempatkan seramai 229 mangsa daripada 73 keluarga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini