DURIAN TUNGGAL: Melaka akan dijadikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, ini kerana negeri itu yang dipimpin Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sangat komited dalam membangunkan pusat latihan TVET selain mempunyai banyak peluang pekerjaan khusus untuk lepasan bidang berkenaan.
Katanya, setakat ini Melaka sudah mempunyai 23 institusi TVET, antara yang tertinggi di negara ini.
“Ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Melaka baru-baru ini, beliau meluluskan peruntukan khas untuk TVET di negeri ini sebanyak RM10 juta, satu jumlah yang tinggi yang tidak diperoleh oleh negeri lain.
“Ini kerana kebijaksanaan Ketua Menteri dan saya pasti membantu Melaka untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat kecemerlangan kepada TVET ini,” katanya selepas merasmikan JELITA@KPT Summit 2024 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.
JELITA adalah singkatan kepada Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement’ yang menyediakan peluang kepada graduan atau pelajar wanita meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang dan memantapkan kemahiran insaniah berasaskan keperluan industri.
Di samping itu, ia menyokong graduan TVET mendapatkan gaji premium melalui pensijilan berasaskan keperluan industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan wanita di Malaysia.
Yang turut hadir Ab Rauf, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UTeM, Datuk Dr Massila Kamalrudin.
Mengulas lanjut, Program JELITA@KPT Summit 2024 bukan sekadar satu inisiatif biasa, tetapi adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk mencipta perubahan bermakna yang tidak hanya memberikan manfaat kepada individu malah kepada komuniti dan negara.
Katanya, JELITA@KPT Summit membuka lembaran baharu dalam pemberdayaan wanita khususnya dalam bidang TVET di negara ini menerusi pembabitan institusi pengajian tinggi.
“Kita semua sedar bahawa wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan ekonomi negara.
“Namun statistik menunjukkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia adalah sekitar 55 peratus, jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Vietnam yang mencatatkan kadar penyertaan golongan itu sebanyak 71 peratus dan Singapura di tahap 62.6 peratus.
“Jurang ketara ini menjadi `wake up call’ untuk kita mengambil langkah lebih tuntas dan agresif dalam menyokong ikhtiar memperkasakan wanita, termasuk dalam sektor strategik seperti TVET kerana ia bukan hanya menawarkan peluang untuk meningkatkan pendapatan tetapi juga kestabilan kerjaya jangka panjang,” katanya.
Ahmad Zahid berkata Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri kekal komited terhadap agenda memperkasakan wanita dengan pendekatan holistik dan proaktif.
Katanya, melalui Dasar Wanita Negara, pelaksanaan program keusahawanan dan fasiliti sokongan seperti perkhidmatan penjagaan anak, kerajaan memastikan ekosistem yang kondusif untuk wanita berkembang maju.
“Usaha strategik yang dirancang termasuk memperkasakan TVET, akan membuka ruang untuk wanita terbabit dalam pekerjaan berkemahiran dan berteknologi tinggi.
“Ini bagi mengatasi cabaran budaya, stigma dan struktur tradisional yang sering menjadi kekangan penyertaan wanita dalam sektor strategik termasuk TVET,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.