Tumpuan :
Nasional

Melaka dijadikan rujukan pelaksanaan inisiatif Kampung Digital

Ab Rauf Yusoh menyampaikan Anugerah Pembangunan Negeri Melaka 2025 malam tadi.-FOTO NSTP

MELAKA: Pelaksanaan Kampung Digital Melaka yang dibentangkan pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-145 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu menarik perhatian ahli mesyuarat.

Pembentangan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu turut dijadikan rujukan menteri besar serta ketua menteri khususnya apabila Melaka dipilih sebagai negeri perintis kepada pelaksanaan projek terbabit.

Ab Rauf berkata, beliau diberi ruang secukupnya untuk membentangkan inisiatif terbabit dan peluang itu digunakan sebaiknya bagi memberi penjelasan terhadap cadangan baharu kerajaan negeri itu.

Katanya, pada pembentangan itu beliau memberi keyakinan kepada kerajaan Persekutuan bahawa inisiatif terbabit mampu menyuraikan kekusutan terutama berkaitan sistem pengurusan alamat kediaman penduduk yang selama ini hanya menggunakan kaedah perbatuan sehingga menyulitkan urusan perhubungan oleh agensi berkaitan.

“Kerajaan negeri diberikan peluang untuk membentangkan projek Kampung Digital untuk dijadikan rujukan kepada alamat `National Address System’ yang akan memberikan satu kaedah pegurusan masyarakat yang lebih baik dan terancang.

“Ini menjadikan semua pengurusan peralamatan dalam masyarakat kita di kampung tradisional lebih lengkap berbanding hanya menggunakan alamat perbatuan untuk urusan rasmi kerajaan, urusan perbankan atau urusan dengan semua agensi utiliti.

“Alhamdulillah, Melaka dijadikan sebagai rujukan yang terbaik di Malaysia sebagai negeri perintis kepada projek Kampung Digital ini,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Pembangunan Negeri Melaka 2025 di sini malam tadi.

Ab Rauf berkata, pembentangan itu adalah satu kejayaan terbaik, sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri contoh dalam pengurusan masyarakat yang lebih terancang serta tersusun dalam konteks Kampung Digital pertama di Malaysia.

Kerajaan negeri sebelum ini memperkenalkan projek Kampung Digital, inisiatif pertama seumpamanya di negara ini bagi menambah baik sistem pengurusan penduduk dan pentadbiran 623 kampung yang sekian lama terikat dengan kaedah konvensional.

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada awal bulan lalu memeterai kerjasama strategik dengan Kerajaan Melaka menerusi perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini