Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Melaka bakal wajibkan semula pelitup muka di tempat awam

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Kerajaan Melaka bakal menguatkuasakan semula peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam jika berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya memandang serius peningkatan kes berkenaan sejak akhir-akhir ini.

Kata beliau, pihaknya sedang memantau secara dekat perkembangan itu dalam tempoh dua minggu ini.

“Kami akan memantau dalam tempoh 2 minggu ini dan jika penularan kes meningkat naik, kita tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan semula undang-undang pemakaian pelitup muka di tempat tertutup dan di kawasan orang ramai.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, dengan perkembangan terbaharu ini, orang ramai termasuk pelancong diminta memakai pelitup muka.

“Kami memohon orang ramai sama ada rakyat negeri melaka mahupun pelancong yang datang ke negeri Melaka untuk memakai pelitup muka terutama di tempat yang tertutup dan di tempat orang ramai.

“Dengan pertambahan bilangan kes COVID-19 di seluruh dunia, kerajaan negeri mengambil maklum dan serius mengenai bilangan kes yang bertambah,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang belum mendapatkan vaksin dos penggalak agar segera berbuat demikian sebagai perlindungan.

“Orang ramai yang belum menerima vaksin booster agar segera mendapatkannya dan pastikan anda bukan penyebar kepada virus ini,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua varian COVID-19 utama dalam penularan penyakit itu di China iaitu BA.5.2 dan BF.7 dikesan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua varian berkenaan dikesan dalam 80 peratus kes COVID-19 di China.

Setakat 31 Disember lalu di Malaysia katanya, sebanyak 4,148 kes positif melibatkan BA.5.2 manakala tiga lagi kes adalah BF.7.

Loading...
Terkini