KUALA LUMPUR: Mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kalat kepada Kementerian Ekonomi sewaktu sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri.
Pada sesi sama, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd. Kadir mnta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan impak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terhadap biodiversiti di kawasan hutan hingga menyebabkan konflik antara manusia dan hidupan liar.
Beliau juga meminta kementerian untuk menjelaskan langkah membantu penduduk yang terkesan dengan ancaman hidupan liar.
Selain itu, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat menyatakan hala tuju dan pelan tindakan buat program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dalam
menyelesaikan pelbagai isu mendesak terutama kesedaran dan penerimaan masyarakat, kekurangan sumber seperti kewangan, tenaga kerja dan kelengkapan infrastruktur yang sesuai, dan pendidikan.
Turut menjadi tumpuan, ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok meminta Perdana Menteri menyatakan kos pengoperasian Lembaga Kelayakan Profesion Undang Undang bagi lima tahun yang lepas.
Beliau juga ingin tahu adakah terdapat proses pengauditan untuk pendapatan dan perbelanjaan dana awam berkenaan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu Gajah meminta Perdana Menteri menyatakan statistik pelantikan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam mengikut kategori ketidakupayaan bagi 2023
dan 2024 serta perbandingan dengan jumlah permohonan OKU dan
langkah menangani ketidakseimbangan tersebut.
Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar oleh menteri daripada setiap kementerian.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.