Tumpuan :
Nasional

Mekanik maut tersepit antara van dengan treler

FOTO: PDRM

IPOH: Seorang mekanik yang sedang membaiki treler rosak di Kilometer 286.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Simpang Pulai, maut selepas dilanggar van, hari ini.

Dalam kejadian 1.35 pagi itu, Mohammad Marinoor Chik, 60, meninggal dunia akibat tersepit antara bahagian hadapan treler dan belakang van miliknya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa memberhentikan vannya di bahu kiri jalan untuk membaiki treler itu.

Katanya, tidak lama kemudian, rakan setugasnya berusia 36 tahun tiba dengan memandu van lain dan berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

“Semasa mangsa sedang membaiki treler yang rosak itu, secara tiba-tiba rakan setugas mangsa mengundurkan vannya dengan laju dan melanggar van mangsa.

“Perlanggaran itu menyebabkan van mangsa menggelongsor ke belakang dan menghimpit mangsa yang berada di tengah-tengah antara treler dan van.

“Rakan setugas mangsa kemudian melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.

“Pemandu treler tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini