Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Mendedahkan keburukan selain menyebarkan aib individu tertentu di platform media sosial disifatkan semakin parah dan membimbangkan dalam kalangan masyarakat kini.
Ia seakan menjadi kebiasaan segelintir pihak yang dikatakan mahu menegakkan fakta menerusi pendedahan, namun secara tidak sedar ia lebih banyak mengundang kemudaratan.
Kesannya reputasi mangsa terjejas teruk selain terpaksa menanggung trauma akibat daripada kecaman yang diterima.
Buletin TV3 menjejaki individu yang sehingga kini menanggung kesan akibat daripada perbuatan berkenaan.
Hanya mahu dikenali sebagai Khalid, dia yang merupakan kakitangan swasta sebelum ini mendakwa pernah diaibkan setiap hari selama tiga tahun oleh bekas teman wanitanya.
“Setiap hari dia upload di media sosial lontar pelbagai kecaman dan tuduhan terhadap saya, kata saya itu ini, kata jantan tak guna berserta kejian dan ugutan.
“Mungkin ada salah saya tapi tak sangka seperti itu saya diperlakukan sampai orang sekeliling dari tidak tahu jadi tahu.
“Bila aibkan macam ni, untuk apa ? Masalah tetap tak selesai cara baik pun, keadaan jadi lebih keruh. Sampai saya buntu fikir tak ada jalan keluar.” dakwa Khalid kepada Buletin TV3.
Walaupun menanggung derita, dia tidak melaporkan insiden berkenaan kepada pihak berkuasa kerana tidak mahu isu membabitkan dirinya tersebar luas.
“Saya bukan tak nak buat laporan tapi kalau saya buat, kes akan naik mahkamah dan semua orang akan tahu.
“Aib yang saya cuba tutup rapat-rapat, (akhirnya) akan terbuka luas. Lebih baik saya diam dan pendam sendiri walaupun hampir gila sebab tertekan.” luahnya.
Itu antara cebisan kisah dan ia sebenarnya turut membabitkan isu persengketaan keluarga, kemelut rumah tangga serta ketidakpuasan hati terhadap individu lain.
Tidak kurang juga, ada yang tidak kisah menjaja diri secara terbuka dengan aktiviti seksual demi mengaut keuntungan.
“Perilaku mengaibkan di media sosial dalam konteks negara kita ini sebenarnya dah parah sebab pengguna di Malaysia anggap itu sudah normal.
“Ada juga potensi pengguna yang tak sedar bahawa apa yang mereka buat itu perbuatan yang salah, yang itu lebih parah sebab dia masuk dalam fasa semua orang buat, jadi tak salah lah.
“Jadi kalau masuk ke fasa itu, kita dalam fasa yang sangat meruncing.” kata Siraj Jalil, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, MCCA.
Hakikatnya perbuatan itu juga merupakan sebahagian daripada jenayah buli siber kerana mampu mendatangkan mudarat kepada mangsa.
Bagi pakar psikiatri, pelaku juga berkemungkinan mempunyai gangguan mental dan emosi.
Dan yang menanggung kesan jangka panjang tentunya individu yang diaibkan sehingga boleh mengundang kepada cubaan bunuh diri.
“Jadi menyebabkan masyarakat jadi ornag panggil secondary trauma (trauma sekunder), maknanya dia bukan direct tetapi apa yang berlaku hari hari berdepan dengan benda tu dia nampak penderaan, ada dera, buli, lama kelamaan hidup jiwa orang yang melihat ini akan tak gembira.
“Jadi masyarakat kesuluruhan akan akhirnya akan jadi majoriti banyak yang tak gembira sebab ramai terdedah dengan media sosial. Timbul pelbagai penyakit berkaitan psikologi akan bertambah.” kata Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, Pakar Perunding Kanan Psikiatri, UM.
Untuk rekod, kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman dan denda di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Justeru mangsa yang terlibat disaran melaporkan kepada pihak berkuasa jika berdepan isu ini.
Manfaatkan penggunaan internet untuk kebaikan, elak mudarat
Sementara itu, selain daripada undang-undang sedia ada, masyarakat diseru untuk tidak menjadikan masalah moral berkenaan satu normalisasi.
“Jangan sesekali gunakan media sosial ini khususnya dalam konteks menggunakan sosial media untuk mengaibkan orang lain, menjatuhkan orang lain, maruah orang lain dan juga berbangga dengan keaiban diri sendiri dan menggunakan sosial media itu untuk raih follower ramai dengan menaibkan diri sendiri.
“Ini bukan perbuatan yang diajar dalam agama bahkan ditegah.” tegas Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama )
Setiap kandungan media sosial yang diterapkan ketika ini jadi tatapan dan tidak mustahil ikutan dalam pembentukan tahap mentaliti, adab serta akhlak masyarakat pelbagai peringkat termasuk generasi akan datang.
Persoalannya, sejauh mana pengaruh positif di platform ini dapat dipertahankan, agar kemudaratan tidak terus dicontohi ?
Apa yang pasti, peranan kita semua mampu menentukan hala tujunya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.