Tumpuan :
Nasional

Media Prima ungguli Anugerah Putra Brands

Pengarang Kumpulan HM, Husin Jahit (dua, kiri), bersama Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thilinadan (dua, kanan), bergambar bersama piala kategori media dan saluran ketika Majlis Anugerah Putra Asia Brand di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad (kiri) dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Shamshul Azree Samshir. – FOTO: NSTP

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Kumpulan media bersepadu terbesar Malaysia, Media Prima Berhad (Media Prima), mengungguli Anugerah Putra Brands 2024 di sini malam ini.

Perniagaan membeli-belah di rumah kumpulan, WOW Shop, meraih emas bagi Anugerah E-Dagang.

Akhbar terbitan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Harian Metro (HM), merangkul perak bagi Anugerah Media dan Rangkaian, manakala Berita Harian (BH) dan saluran televisyen TV3 merangkul gangsa pada kategori sama.

Hadir bagi menerima anugerah itu pada majlis di sini malam tadi ialah Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M. Thillinadan, Pengurus Besar Kanan WOW Shop, Steve Jooseob Ko, Pengarang Kumpulan HM, Husain Jahit, dan Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Farah Shamsudin.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.

Sementara itu, Farah, ketika ditemui selepas majlis menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk penyokong TV3 yang kekal setia meskipun menjangkau usia 40 tahun bersiaran.

“Kami ingin terus memberikan kandungan berkualiti, seperti drama dan dokumentari, serta meraih kejayaan di peringkat antarabangsa. Terima kasih kepada penonton yang memilih TV3 sebagai stesen nombor satu di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, M. Thillinadan berkata kejayaan terbabit adalah bukti pengiktirafan terhadap BH sebagai akhbar Bahasa Melayu terbesar di Malaysia.

“Setiap hari, BH Online mencatatkan lebih 1.5 juta page view dan 700,000 pengunjung. Ini adalah satu pengiktirafan penting kepada Berita Harian dan BH Online sebagai jenama kandungan terbaik di Malaysia, sekaligus membuktikan kepercayaan dan keyakinan pembaca serta masyarakat terhadap Berita Harian,” ujarnya.

Husain, ketika ditemui, berkata kejayaan akhbar berkenaan meraih anugerah untuk kali kedua berturut-turut, sekali lagi membuktikan Harian Metro masih unggul di pasaran.

“Terima kasih kepada semua pembaca Harian Metro, sama ada di platform digital ataupun cetak. Tanpa sokongan anda, kami tidak akan berada di sini. Kami akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini