KOTA KINABALU: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima menyerahkan sumbangan pasca bencana bernilai RM198,600 kepada mangsa banjir di Sabah, hari ini.
Sumbangan berkenaan bakal disalurkan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana itu hujung tahun lalu membabitkan daerah Beaufort, Penampang, Tawau, Sipitang, Kunak, Tenom dan Keningau.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, sumbangan itu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah untuk diagihkan kepada 993 keluarga.
“Setiap keluarga menerima baucar tunai bernilai RM200. Sumbangan ini diharap sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mangsa bencana di negeri ini.”Kami akan meneruskan misi bantuan ini ke negeri lain yang terkesan akibat bencana. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyumbang kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan itu di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) JKM Sabah, di sini, hari ini.
Sumbangan diserahkan kepada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri.
Turut hadir Timbalan Pengarah JKM Sabah, Roshayati Omar.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima boleh disalurkan melalui akaun Bank Muamalat 1401 0008 8437 12.