Tumpuan :
Nasional

Media Prima raih pendapatan RM194.9 juta pada suku tahun pertama

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd terus mempamerkan daya saing dalam persekitaran ekonomi yang mencabar dengan mencatatkan hasil sebanyak RM194.9 juta bagi suku tahun pertama berakhir 30 September 2024.

Kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia itu meraih keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.4 juta dalam suku dikaji, di mana hampir semua segmen perniagaan kumpulan mencatatkan keuntungan pada suku berkenaan.

Syarikat dalam satu kenyataan memaklumkan, kumpulan kekal teguh dan mendominasi landskap media tempatan dengan Rangkaian Televisyen Media Prima menguasai 55.9 peratus peratusan audiens.

Katanya, jenama TV3 kekal sebagai penyiar utama negara, dengan meraih 46.3 peratus daripada audiens (Melayu 4+).

“Kedudukan ini dikukuhkan lagi dengan tontonan tinggi dicatat bagi Anugerah TikTok pada Ogos 2024, yang mencatatkan 4.3 juta penonton dan 2.1 juta tontonan di TikTok Live TV3 Malaysia.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (kanan), dan juga Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.

“Perniagaan membeli-belah di rumah kumpulan, Wowshop, juga mencatatkan keputusan positif apabila berjaya merapatkan jurang kerugian meskipun menghadapi persaingan yang sengit,” katanya.

Media Prima Audio (MPA) telah memulakan suku pertama dengan mencatatkan hasil pengiklanan yang lebih tinggi berbanding suku sama pada tahun kewangan sebelumnya, justeru mengukuhkan lagi kedudukan sebagai rangkaian radio paling popular di Malaysia.

“Kajian Nielsen Consumer and Media View Survey 1, 2024 (Julai 2023 – Jun 2024), menunjukkan bahawa jenama-jenama di bawah naungan MPA menarik lebih 5.8 juta pendengar mingguan.

“Hot FM terus mendominasi dengan 3.8 juta pendengar mingguan, kekal sebagai stesen radio utama negara dan paling popular di TikTok. Fly FM turut meningkatkan capaiannya sebanyak 12.8 peratus untuk menarik 2.4 juta pendengar mingguan.

“REV Media Group juga mencatatkan peningkatan hasil berbanding tahun kewangan sebelumnya, didorong oleh peningkatan hasil pengiklanan,” katanya.

Tambah Media Prima, saluran-saluran berita Media Prima pula terus menjadi sumber berita yang dipercayai rakyat Malaysia dengan Buletin Utama mencatatkan 2.8 juta penonton (Melayu 4+).

“Berita Harian dan Harian Metro, jenama dari New Straits Times Press juga berjaya menduduki dua tangga teratas bagi jumlah pelawat unik dalam kalangan portal berita di Malaysia,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata keputusan itu memberikan gambaran sebenar cabaran yang dihadapi dalam industri media.

“Namun, saya yakin strategi kami untuk menyesuaikan diri melalui inovasi usaha perniagaan, jenama kami akan terus mengekalkan kedudukannya dalam kalangan audien serta para pengiklan di Malaysia.

“Kami komited untuk melabur dalam pembangunan bakat, kandungan, dan teknologi bagi memastikan masa depan Media Prima terus mampan dan berjaya,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, prestasi baik yang dipamerkan oleh segmen-segmen penting seperti REV Media Group dan Wowshop bagi suku ini telah membuktikan keberkesanan strategi kumpulan bagi mempelbagaikan sumber pendapatan dan menyesuaikan diri dengan perubahan citarasa pengguna.

“Kumpulan akan secara aktif mengurus kos, memperkukuh operasi utama, dan membangunkan inisiatif-inisiatif baharu bagi memacu pertumbuhan masa depan.

“Komitmen Media Prima bukan terhenti hanya pada pencapaian komersial tetapi juga dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan program bantuan perubatan hasil sumbangan orang awam melebihi RM260,000.

“Selain itu, melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, sumbangan orang ramai sebanyak RM4.1 juta akan disalurkan kepada mangsa perang di Palestin melalui kerjasama Kumpulan bersama NGO-NGO, bagi menyediakan keperluan kesihatan, keselamatan makanan, dan tempat perlindungan kepada mangsa konflik di Palestin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini