
KUALA LUMPUR: 1,300 kotak rezeki mengandungi barangan keperluan asas diagihkan kepada golongan yang memerlukan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) “Kotak Rezeki Dari Hati” anjuran Media Prima Berhad dan Nestle (Malaysia) Berhad.
Media Prima dalam kenyataan berkata, program berkenaan menjadi sebahagian daripada kempen Ramadan Raya 2025 (“RaRa 2025”) Media Prima bertemakan Indahkan Memori yang bertujuan menyebarkan keceriaan dan membantu komuniti kurang berkemampuan sepanjang bulan Ramadan.
“Misi ‘Kotak Rezeki Dari Hati’ berkenaan mencerminkan komitmen dan keprihatinan Media Prima untuk menyalurkan sumbangan kepada khalayak yang lebih luas dan menceriakan mereka dalam menjalani ibadah puasa serta Hari Raya.
“Dengan pemberian 1,300 kotak rezeki yang mengandungi barangan keperluan runcit seperti beras, bihun, sos cili, kopi, serbuk koko, minuman bertenaga dan makanan ringan berkhasiat.
“Penaja utama program itu, Nestle Malaysia menyumbang produk jenamanya yang sudah sinonim dengan rakyat Malaysia seperti Milo, Nescafe, sos cili Maggi, Nestum, serta susu Nespray dan Omega,” katanya.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols di Balai Berita Bangsar, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, TV3 dan Tonton, Media Prima Television Networks (MPTN), Amir Rasyidi Johari dan Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), Husain Jahit.
Kenyataan itu memaklumkan, program CSR itu turut menerima sokongan daripada Syarikat Jasmine Food Corporation, Pasar Raya Econsave, serta Syarikat S&P Foods dan Kantin Lab.
“Media Prima sentiasa cakna terhadap kesusahan golongan yang memerlukan, justeru pelbagai inisiatif kebajikan dijayakan antaranya program TKHM.
“Pengagihan ‘Kotak Rezeki Dari Hati’ ini akan diterajui oleh Harian Metro, rancangan Wanita Hari Ini (WHI) serta radio Hot FM, dan Molek FM.
“Bantuan keperluan asas disalurkan kepada golongan asnaf, ibu tunggal miskin, rumah orang tua dan kebajikan, komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan juga petugas barisan hadapan di sekitar Lembah Klang dan Pantai Timur,” katanya.
Antara yang hadir menerima sumbangan dalam acara simbolik pada majlis hari ini, Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia, Rumah Raudhatul Al-Faeez, Gombak serta Persatuan Kebajikan Wanita Dan Ibu Tunggal Nur Iman (WITUS).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.