Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Media Prima lancar Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda, santuni golongan memerlukan

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid menyempurnakan pelepasan program Seindah Kasih x Jom Ronda di Balai Berita Bangsar. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) melancarkan Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda dengan misi menyantuni golongan memerlukan sepanjang Ramadan.

Melalui misi itu, skuad peserta akan mengunjungi rumah anak yatim, orang tua, golongan ibu tunggal dan masyarakat B40 di zon utara, selatan, tengah dan pantai timur.

Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Mohd Effendi Omar, berkata pihaknya berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan pelbagai syarikat penaja tahun ini bagi melaksanakan program Seindah Kasih X Jom Ronda.

“Berbekalkan sokongan penaja dan orang ramai, kami akan berusaha memperluas program ini serta memperbanyakkan kawasan persinggahan dan penerima sumbangan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelepasan skuad Seindah Kasih X Jom Ronda yang disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Syed Hussian Aljunid, di Balai Berita di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Program Seindah Kasih X Jom Ronda disertai enam kenderaan dengan 12 kru termasuk selebriti seperti Mimi Lana, Siti Saleha, Shasha Abedul, Anas Ridzuan dan Luqman Hafidz.

Mereka akan singgah di lebih 200 lokasi termasuk lapan rumah kebajikan dan empat masjid.

Antara lokasi akan disinggahi ialah Rumah Anak Yatim Shafar di Johor Bahru bagi melaksanakan gotong-royong membersihkan dan mengecat rumah.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, program Seindah Kasih X Jom Ronda cenderung kepada aspek menyantuni masyarakat sempena Ramadan.

“Kru akan menemui masyarakat di segenap pelosok kawasan dan mengadakan pelbagai aktiviti mengimarahkan semangat Ramadan, sekali gus mengeratkan silaturahim antara syarikat korporat dengan masyarakat,” katanya.

Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Jualan dan Pemasaran Panasonic Aircondition Malaysia, Stephen Eric Khan, yang mewakili penaja utama program pula berkata, pihaknya sentiasa memberi keutamaan untuk menyumbang kepada komuniti.

“Kita sentiasa mencari peluang bekerjasama dengan pemegang taruh utama dan memberi kembali kepada rakyat Malaysia sebagai balasan sokongan terhadap produk pendingin hawa jenama Panasonic,” katanya.

Panasonic akan menyumbangkan unit pendingin hawa kepada semua masjid yang dikunjungi sepanjang misi kali ini.

Bagi jenama minuman isotonik nombor satu di Malaysia, 100Plus objektif atau misi utama mereka menyertai Skuad Seindah Kasih pada kali ini adalah untuk memberi sokongan kepada masyarakat muslim di Malaysia sempena menyambut kedatangan Ramadan.

Pengarah Pembangunan dan Inovasi Perniagaan 100Plus, Zainal Abidin Musa, berkata aktiviti sebegini bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan hidrasi terutama dalam Ramadan.

“100Plus akan menyerahkan minuman 100Plus Active bagi membantu peserta dan penerima kekal hidrat sepanjang Ramadan,” katanya.

Program yang bakal disiarkan saluran TV3 itu, antara pengisian baharu bagi menyemarakkan kempen Ramadan Raya 2023.Tema Program Seindah Kasih dipilih sebagai pesanan kepada umat Islam untuk sentiasa mensyukuri apa yang dinikmati, terutama selepas mengharungi pelbagai ujian ketika berhadapan COVID-19, selain bencana alam yang meragut nyawa serta merosakkan harta.

Loading...
Terkini