comscore
Tumpuan :
Nasional

Media Prima Audio konsisten catat 5.6 juta pendengar mingguan

Studio Hot FM di Seri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya. – FOTO: FAIL NSTP

PETALING JAYA: Media Prima Audio (MPA) menunjukkan peningkatan prestasi secara berterusan dan konsisten apabila mencapai jumlah pendengar mingguan sebanyak 5.6 juta, mengikut kajian Nielsen dan Consumer & Media View (CMV) bagi Januari hingga Disember tahun lalu.

Kajian ini menilai Pendengaran Minggu Lalu dalam kalangan individu berusia 15 tahun ke atas di Semenanjung yang secara tidak langsung menjadikan MPA mampu menyesuaikan diri dengan kehendak peminat.

Keputusan ini menunjukkan peningkatan kukuh dalam jumlah pendengar bagi setiap stesen radio di bawah MPA apabila turut mencatatkan lebih 100,000 pendengar berbanding tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPA Nazri Noran berkata, pihaknya akan terus konsisten dalam menyediakan kandungan lebih segar dan menepati cita rasa pendengar masa kini.

“Kami berdedikasi kepada kecemerlangan dalam mencipta kandungan untuk pelbagai platform. Seiring dengan era digital, fokus kami adalah untuk membentuk serta memberi kandungan yang sangat menarik dan segar.

“Secara tidak langsung boleh berhubung terus dengan peminat di semua jenama kami dan dapat menjangkau di mana sahaja mereka berinteraksi dengan kami,” katanya dalam kenyataan.

Hot FM kekal sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia untuk kali ketiga berturut-turut, dengan hampir empat juta pendengar mingguan, hasil daripada kempen yang berjaya dilaksanakan.

Antaranya perlawanan persahabatan dengan kelab bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menampilkan personaliti Hot FM, termasuk Khairy Jamaluddin atau KJ bersama selebriti dan program PIKNIK Bekpes Hot Tour bersama Gardenia.

Fly FM mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio berbahasa Inggeris paling popular di Malaysia dengan 2.15 juta pendengar mingguan.

Inovasi seperti pengenalan Aina sebagai personaliti radio kecerdasan buatan (AI) pertama di Malaysia, termasuk acara lapangan menarik seperti pemberian Sirap Bandung Cincau di konsert Black Pink dan Fly Nite Club Tour, menyumbang kepada populariti yang berterusan.

Sebuah lagi stesen radio berbahasa Melayu, iaitu Kool 101 mempamerkan pertumbuhan luar biasa sejak penjenamaan semula dilaksanakan.

Kool 101 menarik 234,000 pendengar dalam hanya enam bulan dengan membawakan cerita sosial semasa dan trend kepada peminat.

Kool 101 berjaya menyentuh hati rakyat Malaysia melalui penyampaian cerita dan kisah yang positif serta memberi inspirasi.

Eight FM sebagai stesen berbahasa Cina di bawah MPA pula menarik sebanyak 506,000 pendengar mingguan.

Stesen radio itu mengekalkan komitmen untuk menyampaikan gaya kandungan peningkatan diri yang unik.

Pangkalan pendengar yang konsisten untuk stesen ini adalah bukti kepada pengaruh positif ke atas kehidupan peminatnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini