comscore
Tumpuan :
Nasional

Media Prima agih daging korban, program dapat sambutan menggalakkan

KUALA LUMPUR: Ibadah Korban 2024 anjuran Surau Media Prima Berhad mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan kakitangan Media Prima Berhad (MPB).

Pengerusi Surau Media Prima, Fauzi Hashim, berkata sebanyak 12 lembu dibuat korban berbanding tahun sebelumnya antara lima atau enam ekor.

“Alhamdulillah, korban tahun ini kita mendapat sambutan menggalakkan. Malah, kakitangan sendiri yang buat permintaan supaya ia dibuka lebih awal. Jadi ahli jawatan kuasa surau bersetuju untuk buka penyertaan sejak Ogos tahun lalu.

“Tahun ini kita buat korban 12 lembu membabitkan 84 penyertaan. Kalau ikutkan ada lagi yang nak masuk, tapi kita sudah tutup. Kalau terlalu banyak kita bimbang tak mampu dari segi pengurusannya.

“Apa yang boleh dikatakan semangat korban tahun ini memang hebat, tahniah dan terima kasih kepada semua yang terbabit. Semoga ibadah korban ini mendapat keberkatan dan diberikan ganjaran pahala daripada Allah SWT,” katanya ketika ditemui.

Program itu turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Fauzi berkata, program yang sudah lebih 10 tahun diadakan itu membabitkan penyertaan 150 peserta dan sukarelawan yang membantu menguruskan perjalanan program serta proses agihan daging lembu.

“Tahun ini harga bagi satu bahagian adalah RM820, termasuk kos pengurusan. Jadi, anggaran untuk seekor lembu RM5,720. Ada peserta yang membayar secara ansuran sejak Ogos tahun lalu.

“Selain itu, program ini juga menjadi tahun terakhir kita buat di Sri Pentas Bandar Utama. Insya-Allah, tahun depan kita buat di Balai Berita Jalan Riong, Bangsar pula,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek Korban Media Prima 2024, Mohd Sattar Mat Yusoff, berkata pengurusan korban kali ini dipermudahkan.

“Setiap tahun saya memang terbabit, cuma kali ini saya dipilih menjadi ketua penyelaras atau pengurus projek. Memandangkan saya juga sudah lima tahun mengetuai pengurusan ibadah korban di surau kawasan rumah saya, jadi saya sudah biasa dan ada pengalaman itu,” katanya.

Agihan korban MPB tahun ini diberikan kepada lima kategori asnaf membabitkan beberapa rumah kebajikan.

Antaranya Rumah Kesayangan, Rumah Titian Kasih Titiwangsa, Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera, Rumah Sentuhan Budi dan 41 orang pekerja pembersihan MPB.

 

Loading...
Terkini