KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan media memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan maklumat sahih, tepat dan menyeluruh berkaitan hal ehwal agama.
Katanya, kerjasama diberikan media membolehkan masyarakat cakna akan peranan, sumbangan dan perkembangan agensi serta jabatan agama di bawah pentadbirannya.
“Kita bukan nak tunjuk baik dengan memberitahu apa yang sedang dilakukan (agensi agama), tetapi dalam konteks ini, agensi seperti YAPEIM tidak boleh bergerak sendiri.
“Perlu ada media yang boleh membantu menyampaikan apa yang sedang YAPEIM lakukan dan usaha agensi itu untuk membantu masyarakat,” katanya pada Majlis Penghargaan dan Amal YAPEIM Bersama Media 2024 di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YAPEIM, Ameer Ali Vali Mohammed, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nur-ul Afida Kamaludin.
Tidak hanya menghargai sumbangan besar warga media dalam aspek laporan dan berita semasa, Mohd Na’im berkata, beliau turut menzahirkan keprihatinan memandangkan ada pengamal media yang sedang diuji dan memerlukan bantuan kewangan.
“Kita maklum bahawa tak semua pengamal media ini hidup senang, ada yang diuji. Disebabkan itu kita teruskan tradisi sebagaimana tahun sebelumnya untuk berikan sumbangan melalui persatuan atau kelab media.
“Setiap persatuan ini akan kenal pasti 50 orang ahli mereka yang memerlukan dengan masing-masing akan menerima RM1,000 seorang,” katanya.
Pada malam yang dihadiri lebih 300 pengamal media dan karyawan seni itu, YAPEIM menyampaikan sumbangan keseluruhan RM50,000 kepada beberapa kelab media dan persatuan karyawan.
Sumbangan itu diberikan kepada Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor, Kelab Media Putrajaya, Persatuan Wartawan Jenayah, Persatuan Penulis Sukan-Sukan Malaysia dan Persatuan Karyawan Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.