Tumpuan :
Nasional

Medan selera, kedai makan jadi lokasi ‘panas’ iklan aktiviti persundalan di KL

Oleh: Syafiqah Damanhuri & Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kedai makan dan medan selera di sekitar ibu negara terutama di Jalan Pudu dan Jalan Loke Yew dikesan menjadi lokasi ‘panas’ pengiklanan aktiviti persundalan.

Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa yang menyatakan isu itu menjadi cabaran kepada pasukan KL Strike Force selepas mendapati modus operandi sindiket itu bertambah kreatif dalam melakukan kegiatan berkenaan.

“Malah memasuki era pasca normal, cabaran KL Strike Force adalah membanteras kegiatan persundalan yang sudah mula berpindah daripada premis konvensional kepada premis platform digital lebih-lebih lagi apabila rumah inap, hotel, kediaman peribadi turut dijadikan sarang aktiviti ini.

“Dalam hal ini kerajaan menyeru komuniti setempat untuk menjadi mata-mata untuk melaporkan aktiviti seumpama ini di adu@kl atau mana-mana saluran agensi yang berkaitan.” Katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Tambahnya, adalah tidak tepat untuk mengatakan tiada pengurangan ke atas kes persundalan di Kuala Lumpur kerana data tahun 2023 menunjukkanhanya 159 serbuan dan 540 tangkapan sahaja berbanding suku ke-3 tahun ini.

“Ingin saya kongsikan statistik semenjak penubuhan KL Strike Force, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan telah menyerbu sebanyak 209 buah premis yang menawarkan perkhidmatan persundalan.

“Statistik serbuan bermula dari tarikh 27 Mei sehingga 30 September menunjukkan seramai 781 orang telah ditangkap terdiri daripada 149 orang warga tempatan dan diikuti 632 orang warganegara asing berusia di dalam lingkungan usia 18 hingga 61 tahun.” Ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini