KUALA LUMPUR: Sejarah tercipta apabila filem animasi, Mechamato Movie terbitan Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta) menggungguli carta kutipan filem animasi tempatan tertinggi dalam tempoh 22 hari tayangan.
Dengan kutipan RM30.75 juta, Mechamato Movie berjaya memintas Ejen Ali The Movie dan Boboiboy Movie 2 yang mana masing-masing mengutip RM30 juta ketika ditayangkan pada 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Monsta, Nizam Abd Razak menzahirkan ucapan penghargaan buat semua pihak yang sentiasa menyokong, selain menyifatkan ia adalah kejayaan bermakna buat seluruh produksi.
“Kami bersyukur dengan pencapaian Mechamato Movie. Kami sangat berterima kasih kepada peminat yang sudah menonton.
“Tanpa sokongan orang ramai, Mechamato Movie tidak mungkin berjaya menduduki carta nombor satu animasi tempatan,” katanya kepada BH Online.
Nizam berkata, sasaran seterusnya untuk mengatasi filem animasi Hollywood, Frozen 2 yang masih menerajui takhta filem animasi dengan kutipan tertinggi di Malaysia iaitu lebih daripada RM38 juta.
“Sasaran setersunya, kami mahu memecahkan rekod keseluruhan animasi dipegang oleh Frozen 2 yang mempunyai kutipan lebih RM38 juta.
“Biarpun agak mustahil, tetapi saya percaya sokongan orang ramai kita akan berjaya,” katanya.Mechamato Movie ditayangkan di 150 pawagam di seluruh negara sejak 8 Disember lalu.
Ia berkisar remaja lelaki bernama Amato menjumpai kapal angkasa penjara yang membawa robot jahat terhempas di bumi.
Salah satu robot itu adalah MechaBot yang mempunyai kebolehan bergabung dan menjadikan sesuatu objek sebagai alat berteknologi tinggi.
Amato berjaya mengatasi MechaBot dan menjadi tuan kepada robot itu, sekali gus membuatkan mereka bekerjasama untuk mengesan dan menangkap robot jahat.