KUALA LUMPUR: Siri animasi terbitan anak tempatan, Mechamato muncul karya pertama dari luar Jepun yang meraih trofi Anime Fan Award pada Tokyo Anime Award Festival 2023 apabila beroleh 40,000 undi peminat, baru-baru ini.
Kejayaan Mechamato cukup membanggakan kerana sejak acara yang mengiktiraf seni kreatif pengkarya animasi itu diperkenalkan pada 2014, belum ada siri animasi dari luar Jepun yang mengungguli kategori itu.
Kemenangan itu meletakkan siri animasi terbitan MONSTA sebaris karya animasi popular lain antaranya Idolish Seven yang meraih trofi sama pada 2021 dan 2022; Uta no Prince-sama (2020), Yuri!!! On ICE (2017 dan 2018).
Sebelum ini, Anime Fan Award membuka undian lebih 25 hari bagi peminat memilih siri animasi kegemaran.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak berterima kasih kepada peminat yang mengundi Mechamato sebagai siri animasi pilihan.
“Sebagai negara yang terkenal dengan industri animasi, kejayaan ini dianggap suatu permulaan yang baik untuk Mechamato tembusi pasaran Jepun dan antarabangsa.
“Kami yakin Mechamato dapat memikat hati penonton Jepun, terutama kanak-kanak kerana konsepnya yang unik dan ceritanya yang penuh dengan nilai murni,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran MONSTA, Faiz Zainal Aabidin berterima kasih kepada Cartoon Network Japan kerana memberi kepercayaan kepada siri animasi Mechamato.
“Anugerah ini secara tidak langsung dapat membantu MONSTA meyakinkan pengedar di Jepun untuk menerima hasil karya anak Malaysia.
“Kami tidak mahu berhenti di sini, sebaliknya, MONSTA akan terus berusaha membawa siri Mechamato ke stesen televisyen (TV) tempatan Jepun.
“Kita juga bercita-cita menayangkan Mechamato Movie di pawagam di Jepun,” katanya.
Mechamato layak bertanding pada Tokyo Anime Award Festival 2023 kerana siri berkenaan ditayangkan di Cartoon Network Japan pada Mac 2022.
Populariti siri animasi dari Malaysia itu semakin melonjak apabila disiarkan di platform penstriman NETFLIX Jepun pada Oktober 2022. – BERITA HARIAN