Tumpuan :
Nasional

MDT arah festival pamer ‘Roket China’ dihentikan serta-merta

Bendera China pada replika roket ketika festival lampu di Bukit Gambir. FOTO tular

TANGKAK: Majlis Daerah Tangkak (MDT) mengarahkan Festival Lampu LED di sini, yang mempamerkan struktur replika roket yang tertera bendera China, dihentikan serta-merta.

MDT berkata, festival yang diadakan di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir, itu diarahkan menghentikan operasi dengan satu notis arahan pemberhentian operasi serta-merta sudah dikeluarkan.

Malah, struktur roket tertera bendera China itu juga sudah diturunkan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan susulan aduan penduduk.

“Kelmarin, MDT menerima aduan berkaitan tindakan penganjur yang mendirikan struktur berbentuk kapal angkasa/roket yang memaparkan pelekat bendera China di Karnival Fantasi Lampu LED di sini, yang menimbulkan kegelisahan masyarakat tempatan.

“Sehubungan itu, siasatan segera dijalankan oleh pihak MDT di tapak dan mendapati penganjur tidak mematuhi syarat-syarat penganjuran karnival khususnya tidak menjaga sensitiviti masyarakat.

“Tindakan menurunkan struktur yang dimaksudkan dibuat dan satu notis arahan pemberhentian operasi serta-merta dikeluarkan oleh pihak MDT kepada penganjur semalam, selaras dengan seksyen 14(1) (b) dan 49(2) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (Majlis Daerah Tangkak) 2017 kerana perlanggaran syarat itu.

“Pemantauan lanjut semalam mendapati tiada sebarang aktiviti berjalan dan karnival berkenaan sudah ditutup sepenuhnya,” kata MDT dalam kenyataan, hari ini.

Malam tadi, polis dilaporkan membuka dua kertas siasatan susulan bendera China tertera pada replika roket sempena Festival Lampu LED, susulan aduan penduduk.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, dilaporkan berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini