KUALA LUMPUR: Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) mendedahkan kira-kira 50 selebriti, termasuk penyanyi terkenal bergelar Datuk yang dilihat berada dalam kategori ‘artis kaya’, masih kekal berstatus muflis.
Malah, ada dalam kalangan mereka enggan bekerjasama untuk membayar sumbangan bulanan yang ditetapkan selepas kes mereka ditadbir oleh agensi itu.
Ketua Pengarah MDI, Datuk M Bakri Abd Majid, berkata sikap artis yang enggan menemui pegawai MDI bagi membincangkan kes kebankrapan, walaupun notis bankrap sudah lama dikeluarkan, atau gagal membuat sumbangan bulanan yang ditetapkan, menyebabkan MDI sukar membantu melepaskan mereka daripada status muflis mengikut peruntukan undang-undang.
“Ada di antara artis berkenaan sepatutnya boleh dibebaskan daripada status bankrap, contohnya kes sudah melebihi lima tahun, tetapi disebabkan tidak memberi kerjasama atau langsung tidak bertemu pegawai MDI untuk membincangkan kes itu, mereka kekal bankrap hingga kini. Memang jumlah selebriti yang muflis di negara ini tidak ramai, tetapi mereka yang mempunyai ramai peminat ini sewajarnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,” katanya lapor BH.
Difahamkan, antara artis yang berstatus bankrap itu ialah dua penyanyi rock terkenal negara yang masih aktif dalam bidang seni dan beberapa pelakon popular.
Selain artis terbabit, ahli perniagaan, tokoh korporat, dan beberapa ahli politik juga turut tersenarai sebagai individu bankrap yang masih belum dilepaskan hingga kini atas pelbagai faktor, termasuk gagal memberi kerjasama kepada MDI dalam pengurusan kes mereka.
M Bakri berkata, semua pihak, termasuk artis, perlu mengetahui bahawa status bankrap yang dikenakan bukan penamat kehidupan mereka. Sebaliknya, jika mereka mematuhi arahan yang diberikan oleh MDI, pengurusan kes kebankrapan akan menjadi lebih mudah, dan mereka boleh dibebaskan dalam tempoh tiga hingga lima tahun jika memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Antara kriteria yang dilihat jika orang bankrap mahu dilepaskan daripada muflis ialah menjadi ‘individu bankrap yang baik’, iaitu membayar sumbangan bulanan yang ditetapkan tanpa culas dan menghantar laporan pendapatan serta perbelanjaan setiap enam bulan kepada MDI. Jika mereka masih dalam tempoh bankrap dan mahu keluar negara atas urusan rasmi atau untuk melakukan ibadah, MDI sedia menimbang permohonan itu mengikut syarat ditetapkan. Namun, malangnya ada artis yang menyalahgunakan kemudahan tersebut,” katanya.
M Bakri turut mengulas mengenai kerjaya artis yang tidak terjejas dan masih menerima pendapatan lumayan walaupun berstatus bankrap. Beliau berkata, wang yang diperoleh hasil kerja seni mereka dipercayai dimasukkan ke dalam akaun pihak lain.
“Jadi, kita tidak menolak kemungkinan artis yang banyak mendapat projek seni, termasuk mengadakan konsert, menyalurkan bayaran lumayan yang diterima kepada akaun pihak lain termasuk keluarga. jika kita berjaya mengesan kes seperti ini, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terbabit kerana menyembunyikan pendapatan yang diperoleh,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.