Tumpuan :
Nasional

MCPF Perak beri tumpuan advokasi Jenayah Siber di luar bandar

Oleh: Kumaran rajamoney

TAIPING: Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Perak akan menggerakkan tumpuan utama terhadap isu jenayah siber yang semakin membimbangkan, terutamanya di kawasan luar bandar.

Pengerusi MCPF Perak, Datuk Zainal Azman Abu Seman berkata jenayah seperti penipuan dalam talian dan pelaburan palsu kini menunjukkan peningkatan, termasuk di kawasan luar bandar di negeri itu.

“Kita terkejut melihat data bahawa kes melibatkan penipuan siber ini direkodkan tinggi di Kuala Kangsar. Jenayah siber merupakan cabaran besar bagi pihak berkuasa.

“Kita dapati semakin banyak kes melibatkan penggunaan teknologi oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah. Perkara ini memerlukan perhatian serius,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Retreat Yayasan Pencegahan Jenayah Perak Cawangan Larut, Matang dan Selama di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan dan kesedaran masyarakat menjadi langkah penting dalam menangani jenayah siber.

Sebagai langkah strategik, MCPF mencadangkan penggunaan data statistik untuk mengenal pasti kawasan-kawasan ‘panas’ jenayah siber.

Dengan data ini, program pencegahan dapat dilaksanakan secara lebih fokus dan berkesan selain program simulasi yang mencerminkan situasi sebenar seperti senario penipuan dalam talian akan digunakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Pendekatan konvensional seperti edaran risalah kini dilihat kurang efektif. Oleh itu, MCPF merancang untuk memperkenalkan program simulasi yang lebih interaktif bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya golongan muda.

“MCPF sedang mengukuhkan kerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta institusi pendidikan. Kerjasama ini bertujuan memperkasakan usaha mencegah jenayah siber melalui pendidikan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya lagi.

Tambanya, statistik jenayah akan digunakan untuk merangka program yang lebih terperinci melibatkan melibatkan ibu bapa, guru, dan pelajar dalam program-program kesedaran terbabit bagi memastikan pendidikan mengenai jenayah siber lebih menyeluruh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini