Tumpuan :
Nasional

MCMC tidak terima aduan video, parodi berkait GISBH

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat ini tidak menerima sebarang aduan berkaitan kandungan media sosial membabitkan GISB Holdings (GISBH) termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir pengguna.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, MCMC akan meneliti perkara tersebut dan sedia mengambil tindakan lanjut sekiranya mendapat arahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Buat masa ini, MCMC tak memaklumkan kepada saya apa-apa tindakan yang diambil terhadap kandungan yang tidak secara langsung berkait dengan isu GISBH.

“Dari segi aspek siasatan, MCMC akan ambil tindakan untuk menurunkan kandungan atau mengarahkan apa-apa tindakan kepada platform media sosial sekiranya menerima arahan daripada PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Sebelum ini lagu nyanyian ahli kumpulan terbabit termasuk melibatkan pengasas Al-Arqam tular di media sosial sehingga mendapat perhatian masyarakat.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, isu berkaitan GISBH ada disentuh pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, Jemaah Menteri diberi perkembangan mengenai isu terbabit oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

“Kita ada dapat sedikit makluman terkini sama ada daripada Menteri Agama dari segi isu akidah dan Menteri Wanita berkaitan tahap keselamatan dan kesihatan kanak-kanak yang sekarang dalam jagaan pihak kerajaan.

“Cuma memandangkan ada beberapa perkara masih dalam siasatan dan tindakan oleh mahkamah, maka saya hanya boleh jawab sampai situ,” katanya.

Loading...
Terkini