
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima tiga aduan berkaitan kandungan palsu oleh pempengaruh tempatan, Ammar Nazhan berhubung kehilangan rakannya di Indonesia, yang tular di media sosial, sebelum ini.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan dua aduan awam berhubung perkara itu diterima menerusi MCMC Consumer Redress Portal (CRP) dan satu lagi aduan awam dirujuk oleh Kementerian Komunikasi.
Menurutnya, kesemua aduan berkenaan sedang dalam penelitian MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Secara umumnya, bagi kes membabitkan maklumat atau berita palsu, asas tindakan siasatan akan dimulakan berdasarkan aduan atau laporan diterima dari pihak yang terkesan.
“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dengan mengambil kira semua elemen kesalahan termasuk menentusahkan maklumat atau berita melalui bukti dokumentasi, keterangan daripada pihak berkaitan serta bukti lain yang boleh mengaitkan seseorang individu, perbadanan atau syarikat dengan kesalahan disyaki dilakukan.
“Dalam hal ini, tindakan dan kuasa MCMC adalah terhad kepada peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya.
Katanya, asas tindakan siasatan akan dimulakan berdasarkan aduan atau laporan yang diterima dari pihak yang terkesan.
“Penelitian akan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana perkongsian kandungan bersifat palsu.
“Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Pada masa sama, MCMC menasihatkan pempengaruh atau penghasil kandungan supaya berwaspada dalam menghasilkan sebarang bentuk kandungan.
“Ia bagi mengelakkan pelanggaran komuniti standard yang ditetapkan oleh penyedia platform serta yang paling penting, tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.
“Dalam sesetengah keadaan, hukuman yang lebih berat boleh dikenakan terhadap mereka (mengikut pertimbangan dan budi bicara mahkamah).
“Ia turut mengambil kira faktor jangkauan kandungan dihasilkan mereka yang mempunyai puluhan ribuan atau jutaan pengikut, tanda suka, langgan serta impak kepada orang awam yang boleh menyebabkan panik atau kegusaran awam sekiranya ada,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pempengaruh media sosial, Ammar Mohd Nazhan dan Aras Abdullah yang membuat video mengenai kehilangan rakan mereka, Eyka selepas masuk ke dalam hutan di Bandung, Indonesia membuat permohonan maaf selepas membuat kandungan palsu sehingga tular di media sosial.
Menurut mereka, semua kandungan yang dibuat itu hanya hiburan semata-mata dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Dakwaan kehilangan Eyka tular ketika melakukan aktiviti paranormal di dalam hutan pada 3 Februari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.