comscore
Tumpuan :
Nasional

MCMC, pemegang taruh teliti SOP akses telekomunikasi kawasan bencana

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pemegang taruh akan meneliti untuk memperkemaskan lagi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berhubung akses telekomunikasi di kawasan bencana.

Ia susulan permintaan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil supaya MCMC serta syarikat telekomunikasi supaya SOP berkenaan disegerakan.

“Pihak MCMC cakna saranan oleh Menteri Komunikasi dan Digital berkaitan SOP akses telekomunikasi di kawasan bencana. MCMC akan meneliti bersama pemegang taruh untuk memperkemaskan lagi SOP sedia ada,” kata Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Fahmi memberitahu akan berbincang dengan MCMC dan penyedia rangkaian mudah alih bagi menyegerakan SOP akses telekomunikasi di kawasan bencana apabila wujud keperluan khusus untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau yang melawat lokasi SAR kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali Jumaat lalu, turut meninjau gerak kerja pengamal media yang terganggu dengan isu jaringan telekomunikasi di kawasan bencana.

Menurut Fahmi, beliau akan membawa laporan berhubung masalah itu ke Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.

Mengulas lanjut, kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan, MCMC telah menggerakkan Emergency Disaster and Response Team (EDRT) Jumaat lalu dengan mengarahkan penyedia perkhidmatan utama TM, Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile untuk segera menganalisis dan menggerakkan aset komunikasi di tempat kejadian.

Tindakan itu untuk memastikan ketersediaan perkhidmatan menggunakan teknologi komunikasi yang terbaik di kawasan bencana.

MCMC turut meminta bantuan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Malaysian Amateur Radio Emergency Service (MARES) bagi menyediakan komunikasi alternatif dengan menggunakan teknologi radio amatur bagi kegunaan penyelamat berhubung secara pantas.

“Pelbagai cabaran dihadapi dalam memberikan perkhidmatan di lokasi tapak bencana, antaranya ketiadaan bekalan elektrik, bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan jarak pemancar penyedia perkhidmatan masing-masing. Ini secara tidak langsung menyebabkan teknologi seperti gelombang mikro tidak dapat digunakan kerana ketiadaan Line Of Sight (LOS).

“Pihak TM dengan segera menyediakan tindakan alternatif dengan menarik dan menyediakan kabel gentian optik sejauh dua kilometer dari Nod Awana Genting dan penyediaan MoVIC (sel IP boleh alih) TM di tapak bencana. Ini seterusnya membolehkan teknologi Multi Operator Core Network (MOCN) digunakan oleh penyedia perkhidmatan dan memberikan liputan bagi rangkaian masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, seawal jam 3 pagi Sabtu lalu, semua penyedia perkhidmatan terlibat berjaya memberikan perkhidmatan masing-masing melalui Coverage on Wheels (COW) dalam memberikan kualiti perkhidmatan komunikasi kepada misi SAR dan pengamal media di tapak bencana.

Pemantauan MCMC mendapati kesemua penyedia perkhidmatan telah berjaya mencapai kualiti liputan selular yang amat baik melebihi 50 megabit sesaat (Mbps).

“Dalam situasi bencana seperti ini, komunikasi adalah keperluan terpenting kepada pasukan SAR bagi memastikan koordinasi antara pasukan dan agensi yang terlibat di lokasi bencana dilaksanakan secara efektif.

“Selain keutamaan kepada SAR, pengamal media yang bertungkus-lumus di lapangan juga memerlukan komunikasi yang terbaik bagi melaporkan situasi dan perkembangan terkini melalui platform berita dan media masing-masing.

“MCMC dan penyedia perkhidmatan akan terus memantau kualiti perkhidmatan lokasi adalah di tahap yang terbaik bagi pasukan misi SAR dan maklumat serta berita terkini dapat disampaikan oleh pengamal media kepada orang ramai dalam kadar yang segera,” kata kenyataan itu.

Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya awal pagi Jumaat lalu, setakat ini meragut 24 nyawa daripada keseluruhan 94 mangsa manakala 61 selamat.

Sembilan masih hilang.

Loading...
Terkini