
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil TikTok untuk bertemu dengan ketua pengarang syarikat media Isnin ini.
Ia susulan tindakan TikTok menggantung 23 akaun milik media tempatan secara kekal atas dakwaan melanggar dasar keselamatan berkaitan remaja di platform itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan itu agak berat.
“Ini (penggantungan akuan secara kekal) satu tindakan yang bagi saya pandangan saya mungkin pada mulanya mungkin bersifat salah faham mengenai garis panduan, tetapi untuk dikenakan sekatan penggantungan kekal itu saya rasa agak berat.
“Saya difahamkan pada mulanya, akaun-akaun ini sudah dikembalikan, tetapi selepas pada itu hampir kesemua diturunkan sekali lagi. Jadi ini mungkin akibat masalah membabitkan kecerdasan buatan (AI) TikTok.
“Saya sudah minta pihak MCMC memanggil pihak TikTok untuk adakan satu pertemuan dengan ketua editor syarikat media. Saya difahamkan ia akan berlangsung insya-Allah Isnin ini,” katanya ketika ditemui pada program agihan beras fidyah anjuran ikhlas.com di Pusat Komuniti Taman Eko Pantai, di sini, hari ini.
Fahmi menegaskan, pihak TikTok perlu menyelaraskan sistem AI mereka dengan undang-undang dalam negara.
“Dia (TikTok) nak kita ikut garis panduan dia, tetapi sepatutnya dia ikut undang-undang kita. Dalam beberapa perkara dia biar masalah scam (penipuan) dan judi dalam talian dibiarkan.
“Jadi, sebab TikTok sudah dilesenkan, maka kita boleh ambil beberapa tindakan.
“Cuma ada prosesnya kita akan jemput mereka, kita akan dengar pandangan mereka, kita akan keluarkan beberapa arahan dan kita akan ambil tindakan susulan,” katanya.
Ditanya bentuk tindakan susulan yang akan diambil, Fahmi berkata, beliau sudah mengarahkan MCMC meneliti berpandukan undang-undang baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Pindaan 2025) yang dikuatkuasakan sejak 11 Februari 2025.
Menurutnya, setakat hari ini, sejumlah 23 akaun TikTok media tempatan digantung secara kekal dan tiada penambahan.
Media sebelum ini, melaporkan 23 akaun TikTok milik media tempatan disekat susulan laporan media berkaitan kes serangan seksual membabitkan pelajar perempuan di Batang Kali yang disiarkan di platform berkenaan.
Antara akaun TikTok yang disekat ialah Harian Metro dan Buletin TV3.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.