comscore
Tumpuan :
Nasional

MCMC mulakan rundingan awam draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) Penyedia Perkhidmatan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan rundingan awam mengenai draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial (Penyedia Perkhidmatan) bermula hari ini hingga 5 November depan.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan, tujuan rundingan awam itu adalah untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada penyedia perkhidmatan, orang awam, pemain industri serta pihak berkepentingan yang relevan.

“Matlamat draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) adalah bertujuan mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat untuk rakyat Malaysia terutama kanak-kanak dan golongan rentan yang berisiko tinggi terdedah kepada kandungan memudaratkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, rundingan awam berkenaan susulan daripada pengenalan Kerangka Pelesenan untuk perkhidmatan pesanan internet dan perkhidmatan media sosial yang diwartakan pada 1 Ogos lalu dan bakal berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

Jelasnya, draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang dicadangkan oleh MCMC menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“MCMC amat menggalakkan penyertaan daripada penyedia perkhidmatan, orang awam dan semua pihak berkepentingan yang berminat dalam proses rundingan awam yang akan bermula dari 22 Oktober 2024 sehingga 5 November 2024.

“Rundingan awam ini merupakan peluang untuk semua pihak menyumbang kepada dasar yang akan membentuk masa depan persekitaran dalam talian di Malaysia, memastikan bahawa ruang dalam talian kekal selamat, terjamin serta kondusif untuk pertumbuhan dan inovasi,” menurut kenyataan itu.

MCMC sebelum ini memaklumkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.

Langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini