Oleh: Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memeterai kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Melaka menerusi perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu merupakan langkah strategik untuk memastikan setiap premis di Negeri Melaka dilengkapi dengan alamat yang lengkap dan sistematik.
“Perjanjian ini sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi dan infrastruktur digital yang lebih mampan di Melaka, serta memberi manfaat besar kepada komuniti setempat,” katanya.
Menurutnya, Inisiatif KDM itu adalah yang pertama di Malaysia dengan penggunaan kod QR untuk memodenkan sistem alamat rumah di 623 kampung tradisional di Melaka, selain meningkatkan kualiti akses data dan perkhidmatan rakyat.
“Projek ini telah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan cap dagangan logo, menjadikannya model kampung digital di seluruh negara,” jelasnya.
Fahmi turut memaklumkan bahawa menerusi inisiatif ini, MCMC akan bekerjasama dalam aspek sokongan teknikal, selain perkongsian maklumat dan data untuk pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS).
“Dengan adanya NAS kelak, ia akan menjadi sistem tunggal yang berautoriti, seragam, dan berpusat untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara melalui kerjasama antara pelbagai pihak.
“Kerjasama antara MCMC dan Kerajaan Negeri Melaka melalui inisiatif ini amat penting dan diharapkan dapat terus diperkukuh. Projek ini bukan sahaja memberi impak positif kepada Negeri Melaka, malah dijangka menjadi model kepada negeri-negeri lain dalam membangunkan ekosistem digital yang lebih inklusif dan berdaya saing,” katanya.
Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif KDM antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad, disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, serta Fahmi Fadzil.
Hadir sama pada majlis itu ialah Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan; Pengarah Urusan MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus; dan Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.