
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi tadi.
Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata antara lain MCMC perlu memanggil Astro dan pengurusan stesen radio terbabit hadir ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.
“Kementerian Komunikasi telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio milik Astro yang dilihat mempersenda upacara agama lain dan dimuat naik di platform media sosial pagi tadi.
“Saya telah mengarahkan MCMC menjalankan siasatan terperinci, termasuk memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.
“Ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini tular di media sosial, penyampai radio di sebuah stesen milik Astro dilihat seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.
Penyampai radio termasuk dua yang lain kemudian membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka yang disifatkan menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.