KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan dua pegawainya di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memperkasa tindakan penguatkuasaan berhubung isu di media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R ataurace (bangsa), religion (agama) dan royalty (Raja).
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, perkara itu dipersetujui menerusi satu pertemuan antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pertemuan itu bagi membincangkan tentang keperluan memperkasa tindakan siasatan dan penguatkuasaan berhubung kandungan media sosial berkaitan 3R.
“Melalui pertemuan ini, dipersetujui supaya dua pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan ditempatkan di MCMC bagi memantapkan keupayaan dan kepakaran kedua-dua agensi penguatkuasaan bagi tujuan risikan, siasatan dan pendakwaan.
“Pemerkasaan kerjasama sebegini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa serta mengambilkira keperluan terkini dalam menguatkuasakan peruntukan undang-undang negara,” katanya.