Tumpuan :
Nasional

MCMC dalam fasa akhir laksana sistem amaran kecemasan bencana

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam fasa akhir meneliti beberapa pilihan untuk melaksanakan sistem amaran kecemasan secara terus kepada pengguna telekomunikasi sekiranya berlaku bencana seperti banjir.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, bagi tujuan itu, MCMC akan mengadakan koordinasi dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk pelaksanaan alat komunikasi tambahan itu.

“Kita nak minta supaya ada satu aplikasi amaran yang boleh memanfaatkan telefon, bukan melalui system pesanan ringkas (SMS), tetapi ia adalah amaran dihantar terus kepada telefon masing-masing.

“Ia akan jadi satu alat komunikasi tambahan yang boleh membantu (ketika bencana) kerana ia ada satu elemen iaitu geo-lokasi yang mana boleh dihantar kepada sekumpulan orang yang ada di sesuatu lokasi (sama),” katanya.

Beliau berkata demikian sleepas menghadiri Festival Idea Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tambahnya, sistem itu juga membolehkan pengguna memperoleh informasi mengenai pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di sesuatu Kawasan yang ditimpa bencana.

Katanya, langkah amaran itu telah dibuat di beberapa buah negara antaranya Jepun yang menghantar amaran awal kepada penduduknya jika berlakunya gempa bumi.

Justeru, kerajaan dalam usaha melaksanakan perkara sama di Malaysia sebagai alat komunikasi tambahan selain menjadi amaran awal jika berlakunya sebarang bencana.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini