comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] MCM hantar tiga treler bantuan bernilai RM7.2 juta ke Gaza

KUALA LUMPUR: Tiga treler membawa barangan perubatan, makanan dan minuman keseluruhannya bernilai AS$1.5 juta (RM7.2 juta) yang sebahagiannya disumbangkan rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin, akan bertolak ke sempadan Mesir-Palestin menuju Gaza, selewat-lewatnya Isnin ini.

Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd Johari Ismail, berkata kerja memasukkan barangan bantuan kecemasan itu ke dalam kotak dan memuat naik ke atas lori mula dilakukan semalam dengan dibantu sukarelawannya yang berada di bandar Kaherah, Mesir sejak 10 hari lalu.

Katanya, pihaknya membelanjakan lebih RM500,000 untuk pembelian barangan perubatan, makanan dan minuman itu daripada RM1.5 juta yang dibelanjakan untuk bantuan kecemasan Palestin.

“Majoriti sumbangan disalurkan terus kepada MCM Palestin di Gaza yang diketuai penduduk tempatan, Ahmad Abu Ayesh.

Petugas tempatan di Kaherah sibuk memasukkan barangan makanan sumbangan rakyat Malaysia melalui MCM untuk dihantar ke Gaza – Foto: MCM

“Bagi bantuan dari Mesir pula MCM dan Muslim Care Egypt bergabung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa atau gerakan kemanusiaan antarabangsa, ‘Miles of Smiles’ yang berpejabat di London dan turut dianggotai NGO dari United Kingdom, Jordan, Turkiye dan Sweden,” katanya.

Katanya, tiga treler setiap satu sepanjang 12 meter akan bertolak dari Kaherah ke bandar Al-Arish yang terletak 45 kilometer dari lintasan Rafah yang memisahkan Mesir dan Gaza.

“Al-Arish kini menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan untuk ke Gaza dan sebuah stadium digunakan untuk tujuan itu.

Sementara itu katanya, kemasukan lori membawa bantuan kecemasan ke Gaza masih terhad.

“Setakat ini hanya 74 lori membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan dibenarkan melepasi lintasan Rafah manakala beratus-ratus lori lagi beratur di pintu sempadan menunggu giliran.

Beliau berkata, turut berkolaborasi dengan MCM untuk bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin dalam perang kali ini ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Pertubuhan Khidmat Umah (PKU) dan One Nation.

Selain itu, MCM turut menyertai Ops Ihsan dikoordinasikan Wisma Putra dengan gabungan 45 NGO Malaysia membabitkan penghantaran bantuan kecemasan sebanyak 50 tan bernilai RM7 juta dengan menggunakan pesawat udara yang dijadual terbang ke Al-Arish pada Jumaat ini.

Loading...
Terkini