comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] MCA, MIC tak bertanding PRN: Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bincang 10 Julai

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Keputusan MIC dan MCA untuk tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada Isnin depan (10 Julai).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, beliau menghormati keputusan dibuat oleh kedua-dua parti komponen berkenaan.

“Malam tadi saya dihubungi oleh Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong) mengenai keputusan dibuat oleh pimpinan tertinggi mereka dan saya juga sudah membaca kenyataan dibuat Setiausaha Agung MIC (RT Rajasekaran) mengenai keputusan kedua-dua parti untuk tidak menyertai PRN.

“Sebagai Pengerusi BN, saya menghormati keputusan dibuat oleh kedua-dua parti itu namun kita akan membincangkan pada 10 Julai ini dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” katanya yang ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, BN sudah menetapkan bilangan kerusi kepada MCA dan MIC bagi PRN bulan depan, namun enggan mendedahkan jumlah kerusi berkenaan.

“Ada kerusi (untuk MCA dan MIC) tetapi kalau itu mereka putuskan, kita akan bincangkan (pada mesyuarat itu). Kalau mereka (MCA dan MIC) tidak mahu (kerusi), kita (UMNO) akan ambil. Kita tetap kekalkan (kerusi itu) di bawah BN.

“Apa yang penting, BN sebagai komponen penting dan strategik dalam Kerajaan Perpaduan ini, akan terus bersama untuk menghadapi enam PRN yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini,” katanya.

Semalam, MCA mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN setelah keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pada hari sama selepas perbincangan, analisis serta mengambil kira situasi politik semasa.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon berkata, dalam tempoh ini, MCA sebaliknya akan menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

Selang beberapa jam, MIC pula mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN.

RT Rajasekaran berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada 30 Jun lalu setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menafikan dakwaan berlaku masalah hubungan ataupun unsur boikot di antara MCA dan MIC dalam BN.

“Mereka akan tetap turun berkempen, cuma tidak bertanding. Ini komitmen mereka untuk terus bekerjasama melaksanakan kempen yang akan dijalankan.

“Saya ingat mereka mempunyai alasan tersendiri dan saya lebih menghormati keputusan itu daripada melakukan pelbagai spekulasi yang kita tidak tahu, tetapi lebih elok kita berbincang pada 10 Julai nanti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Loading...
Terkini