KUALA LUMPUR: MCA berharap dengan kepimpinan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu, dapat menghapuskan politik bersifat hasad dengki dan mengelak berlaku sebarang perpecahan dalam sebuah masyarakat majmuk.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong, berkata masa depan negara perlu ke arah kesederhanaan, di samping dengan kepimpinan baharu beliau, ia dapat memelihara kepelbagaian masyarakat majmuk.
“Kami menghormati keputusan ini (pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri) untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negara dan pembangunan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.
“Tahniah diucapkan kepada Anwar di atas pelantikan beliau sebagai sebagai Perdana Menteri ke-10. Sememangnya ini satu tanggungjawab besar yang perlu digalas bersama.
“Semoga dengan kepimpinan YAB PM yang baharu, negara kita dapat menghapuskan politik bersifat hasad dengki dan mengelak berlaku sebarang perpecahan dalam sebuah masyarakat majmuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun berusia 75 tahun itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.
Turut berkenan menyaksikan istiadat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama menyaksikan istiadat itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir bersama enam anak mereka termasuk bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Ka Siong berkata, Parti MCA menjunjung titah baginda atas perkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dan diharapkan ia membolehkan Malaysia terus maju menuju ke arah kestabilan dan kemakmuran.