KOTA KINABALU: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 10 pagi Khamis ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata ini kerana pihaknya akan merekodkan keterangan 23 lagi saksi baharu dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri kesembilan itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa sijil cuti sakit (MC) Ismail Sabri akan berakhir, esok.
“Beliau (Ismail) dijangka akan tiba di pejabat SPRM pada 13 Mac, mungkin dalam jam 10 pagi untuk dirakam percakapannya berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan.
“Saksi tambahan 23 orang ini akan dipanggil dalam tempoh terdekat secara beransur-ansur ke pejabat kita untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Dalam pada itu, beliau turut ditanya sekiranya status kesihatan Ismail adalah kritikal sehingga jadual hari asal untuk diambil keterangannya telah ditangguhkan pihak SPRM.
Walau bagaimanapun, Azam berkata, beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai status kesihatan Ismail sebaliknya hanya dimaklumkan beliau tidak sihat dan diberi MC.
“Saya tidak tahu (maklumat terperinci status kesihatan Ismail), saya bukan doktor di sini. Tetapi yang saya tahu MC beliau akan berakhir 13 Mac ini. Dia (Ismail) perlu datang ke pejabat (untuk diambil keterangan).
“Sekiranya dia tidak datang ke pejabat, kita perlu mengetahui apa lagi alasan yang perlu diberikan. Pada minggu lalu, oleh kerana dia masih dalam cuti sakit maka kita pun tidak menganggu kerana sudah disahkan oleh doktor mempunyai masalah kesihatan.
“Pada hari ini sehingga sekarang, tidak ada lagi sebarang maklumat yang saya dapat daripada pihak pegawai penyiasat menerusi doktornya bahawa beliau tidak sihat.
“Maka pada saya, saya beranggapan beliau harus datang ke pejabat untuk dirakam percakapannya. Sejauh yang saya tahu, ia (status kesihatan Ismail) tidak begitu serius,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.